Matinya Demokrasi Kampus

Feb 6th, 2010 | By Admin | Category: Berita, Blog Terpilih

Oleh Hariszuan Jaharudin

~Tanpa semangat dan ruang yang demokratis,
pilihan raya tidak lebih daripada hanya procedural democracy.

Ketika tulisan ini ditinta, pilihan raya kampus–entah apa logiknya pentadbiran universiti tidak mahu memanggilnya pilihan raya lagi, kini ditukar Pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar (PMPP)–telah mulai reda. Poster sebahagiannya sudah diturunkan, tapi banyak juga yang masih melekat di dinding dewan kuliah; kerja tambahan buat mak cik tukang sapu. Tanggal dan buangkan dalam tong sampah. Selesai.

Tapi cerita PRK/PMPP tidak semestinya ikut mati bersama tanggalnya poster calun. Malah, kini di Universiti Kebangsaan Malaysia isunya maseh hangat kerana PRK/PMPP adalah ruang untuk (maha)siswa menterjemahkan makna demokrasi yang mereka fahami dalam bentuk yang paling dangkal, memilih wakil mereka.
PRK/PMPP adalah medan analisa mikro yang merupakan refleks kepada Malaysia secara umumnya, kerna diandaikan anak-anak muda dengan kemampuan akal terbaik di negara ini ada dalam universiti yang bertaburan di setiap negeri di Malaysia. Telah terdengar lantangnya suara anak-anak muda ini melaungkan hasrat dan rasa mereka.

Latar politik UKM

Bagi membolehkan demokrasi kampus berjalan tegap, tuntutannya sudah pasti bukan sekadar perlepasan kuliah setengah hari untuk (maha)siswa keluar membuang undi. Terlalu banyak kejelekan perjalanan pilihan raya kampus di Malaysia–khususnya di UKM.

Sebagaimana yang termaktub dalam peraturan pemilihan MPP, calun tidak dibenarkan bertanding atas nama mana- mana perkumpulan. Mesti bertanding atas tiket individu. Gila! Tanpa kumpulan bagaimana mampu calun untuk menyiapkan segala strategi dan gerak kempen!

Malah ironisnya, sudah menjadi rahsia umum yang calun Pro- HEP (Hal Ehwal Pelajar) membentuk kumpulan Aspirasi (selepas ini dirujuk sebagai Pro-A) manakala yang Pro-Mahasiswa berpayung di bawah Gabungan Mahasiswa UKM (selepas ini dirujuk sebagai Pro-M).

Apa yang dikesalkan, Pro-A ini seakan mandul daya fikir dan inisiatif apabila hanya menjadi pak turut dan penyalin politik luar. Barisan Aspirasi ini dibentuk daripada kerjasama Tindakan Siswa Bersatu (TSB), Chinese Community Committee (CCC), dan Persatuan Agama Hindu (PAH)–carbon copy kepada Barisan Nasional: UMNO, MCA, dan MIC–atau lebih tepat lagi mereka ini dicaturkan sedemikian rupa oleh tangan yang lebih atas!

Dalam hal ini meskipun GMUKM dikatakan mempunyai bayangan PAS, namun dapat dilihat berapa dinamiknya gabungan ini apabila tanpa tegar menerima pakatan daripada kumpulan yang lebih rancu daripada segala macam seperti Kumpulan Aktivis Mahasiswa Independen (KAMI).

Sebagaimana politik nasional, Pro-A yang sememangnya meletakkan kesetiaan kepada pihak pengurusan kolej kediaman dan pengurusan universiti tanpa malu segan akan mengugut–beberapa laporan polis telah dibuat–pelajar, khususnya pelajar tahun satu untuk mengundi calun Pro-A, jika tidak buang kolej! Pada setiap malam sepanjang tempoh berkempen pula, Pro-A yang rata-ratanya memegang jawatan Ahli Jawatankuasa Kebajikan Siswa/I (JAKSA) mengarahkan pelajar mengadakan sentry dari tengah malam hingga awal pagi bagi mengelakkan jentera GMUKM berkempen di kolej kediaman mereka.

Isu ini adalah perkara lapuk yang pasti berlaku saban tahun. Hal ini kerana jawatan JAKSA adalah secara lantikan bukannya melalui pemilihan, maka adalah mudah untuk pihak pihak pentadbiran melantik juak – juak mereka untuk mengawal pelajar.

Selain itu, Sistem Penilaian Kompetensi Generik (SPKG) yang dijalankan di UKM juga dimanipulasi oleh pengurusan kolej kediaman. SPKG adalah penilaian terhadap penglibatan pelajar dalam aktiviti bukan akademik. Masalahnya, yang menilai SPKG ini selain pensyarah adalah para felo kolej kediaman. Adalah mudah untuk felo ini mengugut pelajar dengan adanya kuasa penilai ini. adakah hal ini boleh dijadikan asas betapa terancangnya usaha untuk mencengkam aktiviti pelajar?

Kecurangan proses pengundian

Pada hari pembuangan undi, terdapat kekecohan di awal pagi apabila terdapat kaunter ‘SPKG’ di hadapan pintu masuk ke dewan pengundian. Petugas kaunter ini memakai t-shirt Aspirasi, dan papan kenyataan di belakang kaunter ini jelas-jelas mempromosikan calun Pro-A. Kemudiannya diketahui berdasarkan pengakuan petugas tersebut bahawa kaunter ‘SPKG’–atau tepatnya pondok panas–dibuat atas arahan daripada Pengetua dan pengurus kolej kediaman.

Tags:

Afiat

2 comments
Leave a comment »

  1. Masa aku membuang undi, aku terkandas selama 15 minit dan ada terkandas selama setengah jam dalam bilik seminar kerana kehabisan kertas nak pangkah undi bagi fakulti kejuruteraan tahun 1/2.

    Aku pun benganglah kenapa kehabisan kertas undi.

  2. salammm..
    sebagaimana Pilihanraya Umum.. begitu juga p/raya kampus rupanyaa..
    kira karbon copy lerr..
    tak boleh kah dipulau p/raya dan biarkan mereka yang menang syok sendiri.
    selepas itu dibentuk kumpulan untuk mengambil tugas mentadbir atau
    menyelesai masalah pelajar. otoriti tak semesti datang dari HEP. otoriti datang
    dari para pelajar.

Leave Comment

Petikan dari para artikel "Beriklan Di PerakExpress.com": Kami tidak menyaring komentar-komentar sdr, kecuali komentar yang kuat berbau lucah dan berbau perkauman, terlampau mengeluarkan kata kesat, komentar yang berulang, komentar yang terlampau panjang dan komentar yang mengiklankan sesuatu produk.

Nombor ip yang sama nickname berlainan akan berada dalam consideration list, jika kami mengesyaki sesuatu kepada no IP tersebut, kami akan delete.

Kadang-kadang kami juga terlepas pandang akan sesuatu komentar yang tak patut tersiar. Kami berasa agak kurang adil berbuat demikian, tetapi kami tidak sengaja, jadi kami pohon maaf.