AIC bantah tahan aktivis mahasiswa UKM

Jan 31st, 2010 | By Admin | Category: Rencana, kenyataan media, utama

Kenyataan Media

Kelab Anwar Ibrahim (AIC) membantah penahanan beberapa aktivis Pro-Mahasiswa yang berdemonstrasi membantah manipulasi keputusan Pilihanraya Kampus (PRK) di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Bangi semalam.

Penahanan ini nyata sekali bersifat menghalang hak demokratik dan menyekat intelektualisme mahasiswa di dalam menyatakan pendirian mereka di atas manipulasi sistem yang sengaja direka untuk menyekat suara mahasiswa melalui koalisi Pro-Mahasiswa di kampus-kampus utama IPTA.

Kenyataan Menteri Pengajian Tinggi bahawa mahasiswa yang membantah kekalahan adalah mahasiswa yang ‘tidak matang’, hanya menyerlahkan ketidakmatangan beliau semata-mata. Beliau harus akur bahawa sistem e-voting ini terbuka kepada sebarang bentuk eksploitasi samada ia mudah digodam untuk mengubah keputusan dan juga tidak menjamin kerahsiaan undi mahasiswa. Dan ini terbukti apabila terdapat dakwaan di beberapa buah IPTA, mahasiswa yang didapati mengundi calon pro-mahasiswa diancam untuk dibuang kolej.

AIC juga ingin mempersoalkan apakah satu bentuk pengauditan profesional dan bebas telah dilakukan ke atas sistem e-voting yang sedang digunapakai sekarang untuk membuktikan bahawa sistem itu benar-benar bebas daripada sebarang bentuk manipulasi teknikal serta menjamin kerahsiaan pengundi. Jika tidak, AIC melihat bahawa keresahan pelajar yang menentang sistem e-voting ini adalah berasas dan dengan itu kami juga menggesa pihak yang berkenaan untuk melaksanakannya dengan kadar segera.

AIC menyatakan sokongan ke atas gerakan mahasiswa yang membantah pelaksanaan e-voting dalam PRK yang di adakan di kampus-kampus IPTA seluruh Malaysia tahun ini. Sistem ini jelas mencabuli hak demokratik mahasiswa selaku warganegara Malaysia yang dijamin haknya melalui Perlembagaan Persekutuan.

Di sebalik pewujudan semula Sudut Pidato di beberapa buah IPTA kebelakangan ini, kecelaruan pelaksanaan sistem e-voting ini hanya membuktikan bahawa sebarang usaha untuk mendaulatkan intelektualisme mahasiswa hanyalah omongan kosong yang menjadi mainan bibir politikus. Justeru,sebarang usaha untuk mengekang intelektualisme mahasiswa harus dibantah tanpa sebarang kompromi.

Hidayat Saifudin
Timbalan Presiden AIC

Tags:

Afiat

Leave Comment

Petikan dari para artikel "Beriklan Di PerakExpress.com": Kami tidak menyaring komentar-komentar sdr, kecuali komentar yang kuat berbau lucah dan berbau perkauman, terlampau mengeluarkan kata kesat, komentar yang berulang, komentar yang terlampau panjang dan komentar yang mengiklankan sesuatu produk.

Nombor ip yang sama nickname berlainan akan berada dalam consideration list, jika kami mengesyaki sesuatu kepada no IP tersebut, kami akan delete.

Kadang-kadang kami juga terlepas pandang akan sesuatu komentar yang tak patut tersiar. Kami berasa agak kurang adil berbuat demikian, tetapi kami tidak sengaja, jadi kami pohon maaf.