ISA MENGGANAS LAGI (BHG 2)
Jan 29th, 2010 | By Admin | Category: DAP Melayu, RencanaOleh DAP Melayu
Operasi menangkap Ustaz Azzahari mempunyai skrip yang hampir sama dengan operasi penangkapan Dr Mohd Asri Zainul Abidin, bekas Mufti Perlis kerana mengajar agama tanpa tauliah di Hulu Klang, Selangor hampir 2 bulan yang lalu.
Kuliah hadits dari Kitab Riyadhus Salihin oleh Dr Mohd Asri sebelumnya diadakan di Surau Taman Sri Ukay, Hulu Klang dan berjalan lebih kurang setahun lamanya. Kitab Riyadhus Salihin susunan Imam Nawawi telah diterjemah dan diterbitkan oleh JAKIM.
Setelah Pakatan Rakyat memerintah negeri Selangor, rombakan secara besar-besaran terhadap jawatankuasa masjid dan surau seluruh Selangor telah dibuat. Jawatankuasa Surau Taman Sri Ukay yang baru tidak membenarkan lagi kuliah hadits oleh bekas Mufti itu dibuat disitu. Demi memenuhi hasrat ahli jemaah yang mahukan kuliah diteruskan, seorang penduduk Pak Ya (nama panggilan) telah bermurah hati menjadikan rumahnya menjadi lokasi kuliah yang baru. Di situlah kuliah Dr Mohd Asri diserbu oleh JAIS dan polis, di mana selain penduduk tempatan, kuliah itu turut dihadiri sebilangan besar pelajar UIAM.
Dalam operasi penangkapan ISA yang terbaru kira-kira pukul 9.30 malam pada 21 Januari yang lalu, sekumpulan pelajar UIAM berserta beberapa orang awam telah ditahan oleh polis ketika sedang mengikuti kuliah dalam bahasa Arab yang disampaikan oleh Syeikh Aiman Yusuf Al-Daqqaq di Darul Ilmi, Sg Chinchin, Gombak. Ustaz Azzahari ketika itu turut menghadiri kuliah tersebut. Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) melaporkan bahawa seramai 50 orang telah ditangkap dalam kejadian itu walaupun dinafikan oleh Menteri Dalam Negeri.
Tahanan telah dibebaskan keesokan hari kecuali Ustaz Azzahari, Syeikh Aiman dan 8 orang yang lain yang dikatakan warga asing. Sehingga kini keadaan mereka tidak diketahui.
“Mereka ada kaitan dengan kumpulan pengganas antarabangsa dan akan menjejaskan keselamatan negara kita jika kami tidak mengambil tindakan,” kata Menteri Dalam Negeri ketika diminta mengulas laporan media yang mendakwa tahanan terbabit ada kaitan dengan warga Nigeria, Umar Farouk Abdulmutallab, 23, yang ditahan di Amerika Syarikat selepas lelaki itu cuba meletupkan bahan letupan di atas sebuah kapal terbang tahun lepas.
Kuliah Syeikh Aiman sebelum ini diadakan di dalam Masjid UIAM, pada setiap hari Selasa, Jumaat dan Ahad. Kuliah beliau dalam bahasa Arab dan mengajar kitab-kitab Aqidah Al-Wasatiyyah, Sirah Arrahiq Makhtum dan Kitab Al-Fitan. Seperti juga Dr Mohd Asri, Syeikh Aiman telah dituduh sebagai Ketua Wahabi UIAM, lantaran itu kuliah beliau berpindah ke Darul Ilmi. Malah kuliah beliau di Darul Ilmi disiar secara langsung melalui internet.
Syeikh Aiman Yusuf Al_Daqqaq adalah berasal dari Syria. Beliau adalah lulusan UIAM dan kini sedang menyiapkan pengajian PHDnya di Universiti Sains Malaysia (USM) di bawah penyeliaan Dr Radzi Othman, yang merupakan bos kepada Dr Mohd Asri semasa beliau di USM. Selain memberi kuliah di Masjid UIAM, Gombak, Syeikh Aiman turut mengajar di Masjid Al-Malik Al-Khalid di USM. Kitab yang beliau ajar di USM ialah Adab al-Mufrad li al-Imam al-Bukhari. Beliau juga mengajar kitab Mukhtasar al-I’tisom dan kitab Fath al-Baari Syarh Shahih al-Bukhari.
Di luar negara beliau sering dijemput membentang kertas kerja di seminar-seminar dan forum antarabangsa. Malah 2 tahun lepas beliau turut dijemput berucap dalam Seminar Antarabangsa Pemikiran Muhammad Abdul Wahhab di Kangar, pada seminar anjuran Kerajaan Negeri Perlis. Adakah orang seperti beliau adalah pengganas ?
Seluruh umat Islam patut merasa khuatir jika mereka yang ditahan itu, pada bila-bila masa sahaja diserahkan kepada Kerajaan Kuffar Amerika Syarikat untuk dipenjara dan diseksa di Kem Guatanamao sebagaimana terjadi kepada bekas pelajar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) warga AS, Bilal bin Mohammad beberapa tahun lalu.
(bersambung)



Klik Imej Untuk Senarai Penuh













