Dirgahayu Mahasiswa Pemberani

Jan 29th, 2010 | By Admin | Category: Hasmi Hashim, Rencana

Oleh Hasmi Hashim

Sebagai bangsa yang bermaruah, kita wajib membantah keras perlakuan biadab dan liar pihak berkuasa terhadap mahasiswa biar dalam apa bentuk sekalipun.

Sejak semalam dan malam tadi, sehingga jam 1.30 pagi, suasana di beberapa universiti masih tegang; terutamanya di Universiti Malaya (UM) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UM). Kita maklum, kedua universiti ini menyimpan gah sejarah perjuangan bangsa.

Hari ini, 29 Januari 2010, hari ini hari Jumaat. Hari ini seolah-olah sempurnalah perlakuan biadab dan curang penguasa kepada anak-anak mahasiswa. Mereka tidak lagi mengenal lawan. Musuh mereka bukan lagi jagoan politik di luar pagar universiti, tetapi tergamak mereka memperlakukan anak-anak mahasiswa mutiara bangsa kita laksana langsung tiada harga.

Hanya… Hanya semata anak-anak mahasiswa ini menuntut hak yang memang hak mereka. Jika diteliti, tuntutan anak mahasiswa ini cukup munasabah.

Sistem “E-Voting”, atau “E-Undi” yang pertama kali diaplikasikan di UM adalah karut. Ia sama sekali tidak boleh diterima pakai di dalam sistem demokrasi. Teknologi sehebat manapun bukan alasan bilamana sistem berkenaan terdedah kepada pelbagai bentuk manipulasi.

Asas penting ialah, undi itu rahsia. Dengan E-Undi, maka mahasiswa terdedah diketahui undi mereka. Dengan keraguan ini, juga menjadi ugutan di mana mereka yang tidak mengundi mengikut selera penguasa, boleh dikenal pasti. Boleh pula dikenakan tindakan.

Bertaburan suara di bawah, siapa yang undi calon Pro-Mahasiswa akan dibuang kolej. Misalnya.

Oleh itu, adalah munasabah untuk tuntutan mahasiswa UM agar dikembalikan sistem undi kertas. Meskipun ia nampak konvensional, tetapi itulah cara terbaik. Dengan sistem pengkomputeran, sama sekali tidak melambangkan sistem demokrasi semakin baik. Bahkan, semakin memburuk.

Sebaliknya, karut apabila beberapa keputusan di Universiti Putra Malaysia (UPM) dibatalkan atas tuduhan mahasiswa berkempen secara berkumpulan. Maknanya mereka seakan pro kepada mana-mana parti politik di luar.

Bukan menjadi rahsia bagaimana beberapa pertubuhan mahasiswa di dalam universiti jelas dikuasai, bahkan dibiayai parti pemerintah. Dalam keadaan kuasa yang sedemikian besar, mereka masih membatalkan kemenangan beberapa calon yang dikatakan menggunakan blog atau facebook yang sama. Hanya dengan itu, calon-calon ini dikatakan sudah berkempen secara ‘berkumpulan’.

Keadaan lebih parah di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Jagoh dan wira baru anak muda Malaysia lahir di sana apabila hampir dua minggu lalu, 9 orang diberkas di Kuala Lumpur dalam satu aksi unjuk rasa. Penguasa jangan lupa, sementara mereka angkuh sedemikian, yang terpendam di bawah universiti ini adalah perjuangan nasionalisme bangsa kita yang masih membara.

Sehingga saat saya menuliskan ini, 5 orang sekurang-kurang sudah diberkas dalam demontrasi ratusan orang sejak selepas sholat Jumaat tadi. Lima truk FRU ditempatkan. Apa ertinya semua ini?

Apakah ini bentuk layanan terhadap mahasiswa. Negara yang mundur demokrasinya, bahkan kalangan bangsa yang tidak beradab sahaja yang tergamak berterusan menindas mahasiswa sedemikian rupa. Bukan hanya ditakut-takutkan, diugut, diperlekeh, ditangkap, malah ada yang dipukul.

Seorang mahasiswa di UKM sempat bercakap melalui telefon dan bercerita dengan saya bagaimana sulitnya dan tekanan yang beliau dan teman-teman lalui sepanjang tempoh kempen. Beliau, sudah tentu berada di sebelah Pro-Mahasiswa (Pro-M) dan bertugas di kolejnya.

“Bagi student first year, mereka ditakut-takutkan. Kalau undi kita orang, akan dibuang kolej. Lagipun mereka banyak wang rasanya sebab t-shirt mereka lawa-lawa,” suaranya sayu.

Salut! Anak-anak mahasiswa itu takkan terkalahkan. Saya berikan tunjuk hormat di hadapan mereka.

Hasmi Hashim,
Telawi
4.12 petang.

Afiat

2 comments
Leave a comment »

  1. salute utk anak muda…saya berharap R.A.M memberikan sokongan moral kepada mereka2 ini…

  2. Salut! Anak-anak mahasiswa itu takkan terkalahkan. Saya berikan tunjuk hormat di hadapan mereka. ——aku juga. buat mahasiswa UPM, berjuang terus…..

Leave Comment

Petikan dari para artikel "Beriklan Di PerakExpress.com": Kami tidak menyaring komentar-komentar sdr, kecuali komentar yang kuat berbau lucah dan berbau perkauman, terlampau mengeluarkan kata kesat, komentar yang berulang, komentar yang terlampau panjang dan komentar yang mengiklankan sesuatu produk.

Nombor ip yang sama nickname berlainan akan berada dalam consideration list, jika kami mengesyaki sesuatu kepada no IP tersebut, kami akan delete.

Kadang-kadang kami juga terlepas pandang akan sesuatu komentar yang tak patut tersiar. Kami berasa agak kurang adil berbuat demikian, tetapi kami tidak sengaja, jadi kami pohon maaf.