Reformasi Tanpa Anwar - Akhir
Jan 19th, 2010 | By Admin | Category: Amin Ahmad, RencanaOleh: Amin Ahmad
Ini tulisan terakhir Catatan Reformasi saya. Ya, ia hanya sebuah catatan umum tentang pergolakan pemikiran dari 1998-2008 – tempoh 10 tahun yang wajar kita tekuni sebagai satu tempoh penting dalam memberi erti kehidupan bernegara kepada kita.
Catatan ini tentu saja tidak sempurna. Saya mahu menggalakkan pembaca untuk membeli-baca catatan Pawancheek Marican dalam Anwar On Trial yang saya percaya wajib diterjemah ke dalam bahasa Melayu untuk bacaan meluas dalam konteks masyarakat kita.
Ada pembaca mempertikai pemilihan tajuk siri tulisan ini. Ternampak seolah-olah saya cuba membelakangkan Dato’ Seri Anwar Ibrahim dalam proses penting kenegaraan Malaysia. Itu bukan maksud saya.
Jika pembaca peka, siri tulisan ini muncul ketika Dato’ Seri Anwar dituduh terlibat dalam apa yang dipanggil Sodomi 2 oleh Saiful Bukhari Azlan. Pada waktu itu, yang jadi kekhuatiran ramai ialah jika Dato’ Seri Anwar akan ditangkap dan disumbat ke penjara. Justeru, saya berpendapat bahawa elok kita memugar semula nilai-nilai penting dalam proses reformasi yang suka atau tidak tenggelam di balik bicara politik kepartian.
Sekurang-kurangnya, kita kini berdepan dengan isu getir yang menuntut bukan saja sentimen dan gerak kerja politik yang biasa – kempen dan undi.
Memang, perubahan di mana-mana pun bersandarkan kekuatan idea. Justeru jika kita mengharapkan reformasi di Malaysia, selain daripada persoalan perubahan kepimpinan dan kumpulan pemerintah dalam negara, ia juga harus berani untuk pergi kepada teras yang membinanya.
Idea teras yang wajar didorong ialah tentang:
i) Kemuliaan Insan.
Ini adalah kenyataan Tuhan bahawa Dia telah “memuliakan bani Adam”. Namun, kemuliaan insan itu tidak terhenti di situ kerana ia melibatkan sejumlah isu lain yang datang bersamanya.
ii) Kebebasan.
Dalam pengalaman Islam dan juga peradaban lain, kebebasan adalah jaminan kepada Kemuliaan Insan. Hanya dengan kebebasan, manusia dapat berbuat sesuatu dengan rela. Iman yang sahih adalah Iman yang datang tanpa paksaan. Isu kebebasan ini menjadi satu cabaran besar khususnya kepada penganut agama dan juga masyarakat yang melihat ia sebagai ancaman kepada sosio-budaya masyarakat setempat.
Justeru, aspek nilai kebebasan itu sendiri harus dibincangkan sesama penggiat dengan bertanya sesama sendiri “Apa dan kenapa kebebasan perlu?”, “Apa pro dan kontra-nya?”, “Sejarah dan sumber sokongan dalam agama dan budaya masyarakat” dan sebagainya. Ia mesti dibincangkan secara tuntas dengan segala kemungkinannya.
iii) Keadilan.
Dalam sejarah peradaban manusia, nilai kebebasan didokong oleh semangat keadilan. Justeru ketika bicara kebebasan muncul, yang menjadi ‘pagar’ kepada wacana kebebasan ialah nilai keadilan sendiri.
“Manusia mahukan kebebasan, dan pada masa yang sama manusia mahukan keadilan!”
Dari aspek inilah wacana wajar dikembangkan. Manusia harus berani melihat bagaimana dua aspek ini bergerak sendiri tanpa saling menafikan. Dua nilai teras ini adalah cermin kepada kemuliaan insan.
iv) Kesamarataan.
Ada kelompok yang menjustifikasikan penafian kesamarataan atas faktor agama dan bangsa. Ini wajar dicabar dengan hujah tuntas. Sumber agama dan budaya bangsa sendiri cukup untuk mendobrak faham sempit yang sebenarnya jika diuji hanya akan menunjukkan bahawa kumpulan ini sedang menggunakan hujah-hujah berkenaan secara selektif bagi membolehkan mereka berkuasa dan wewenang berbuat sesuatu. Ironinya kuasa dan sikap wewenang mereka ini bercanggah dengan hujah agama dan budaya bangsa itu sendiri!
v) Kedaulatan Undang-Undang
Harus difahami bahawa kebebasan wujud sebelum undang-undang. Undang-undang wujud bukanlah untuk menafikan kebebasan, sebaliknya ia harus bersifat agihan hak ketika isu kebebasan bertembung dengan isu keadilan. Kedaulatan undang-undang membolehkan isu kebebasan dan keadilan dibicarakan di bawah konsep persamaan di mata hukum (equality before the law).
Tanyakan siapa saja – apakah mereka sedia dibicarakan di bawah satu undang-undang yang tidak adil? Sediakah mereka dibicara dalam satu persekitaran yang mereka sedar dan yakin tidak dapat memberikan mereka keadilan? Pasti jawapannya TIDAK!
Juga tanyakan kepada mereka, jika undang-undang dan persekitaran itu mereka sedar dan yakin akan memihak mereka – tanpa pertimbangan hujah sebelumnya, apakah mereka suka? Tentu saja nafsu manusia menyukainya! Jika mereka suka, jelaslah minda mereka korup!
Kita harus berani mengatakan bahawa kita sedia dihukum di bawah sistem perundangan yang adil dan kita yakini bebas. Kita terlebih dahulu harus mewajibkan keadilan itu ditegak oleh diri sendiri sedaya upaya.
vi) Sistem Demokratik
Nilai-nilai di atas penting untuk membina sebuah sistem demokratik di Malaysia. Sistem di mana tiada yang berkuasa penuh, setiap manusia mempunyai hak yang dilindungi dan diadili. Sebuah sistem wajib diyakini oleh rakyat bagi membolehkan tidak ada pertikaian besar yang akhirnya boleh mendorong kepada pertarungan keras dan mungkin melibatkan pengorbanan nyawa dan terkeluarnya kita dari lunas kemanusiaan.
vii) Keutuhan Institusi
Sistem tentu saja tidak dapat bergerak sendiri. Justeru, institusi muncul bagi membolehkan sistem digerakkan dengan lebih baik.
Institusi awam khususnya yang melibatkan nilai-nilai di atas seperti Polis Di-Raja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Pilihan Raya (SPRM), mahkamah dan sebagainya harus dilihat bersih, bebas dan adil. Dengan jumlah kuasa tertentu diperuntukkan, ia harus bertindak selaras dengan semangat undang-undang, dan bukan undang-undang secara rigid.
viii) Kemanusiaan
Nilai kemanusiaan hanya mungkin tertegak dengan nilai dan ciri yang dinyatakan di atas. Namun suka atau tidak, sistem dan institusi yang rosak berpunca daripada tangan manusia itu sendiri. Krisis demi krisis yang kita hadapi di Malaysia ini adalah berpunca daripada krisis kemanusiaan.
Lebih malang lagi, saat Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi (kini Tun) menjadi Perdana Menteri ke-4, agenda modal insan itu sendiri menjadi lubuk manusia membelakangi nilai-nilai asas dan kestabilan sistem melalui institusi yang ada.
Sebab itu, rakyat sudah tidak percaya lagi. Mulut manis ini bukan mulut manis yang baru tetapi sudah lama bersarang dan terlembaga dalam tiap nadi masyarakat kita.
Sebab itu apa yang lebih penting perlu dilakukan oleh para aktivis reformasi ialah kemahuan untuk membetulkan diri sendiri di samping terus mengusung mesej perubahan di segenap lapis masyarakat.
Saya mahu katakan bahawa ini tidak mudah.
Memang yang lebih sukar daripada kepayahan itu ialah perubahan.
Manusia lebih rela memilih kesukaran berbanding perubahan. Manusia lebih rela memberi justifikasi bahawa lebih baik mereka mengalah berbanding berusaha untuk mengubah sesuatu. Maka jangan hairan jika ada pensyarah di universiti sendiri acapkali bermain kata bahawa “kita ni mentimun, digolek luka menggolek luka”. Ini kata pasrah bagi mereka yang tidak mahu bertanya sejak bila “durian yang digolek dan menggolek” itu muncul secara hakiki?
Kita harus berani mulakan. Hari ini kita seru kepada persaudaraan sesama manusia. Hari ini kita seru kepada nilai yang dikongsi bersama. Hari ini kita katakan bahawa perbezaan tidak akan menjarakkan kita, sebaliknya kita akan manfaatkannya sebagai satu ketentuan Maha Pencipta yang menuntut kita mengenal-Nya melalui penciptaan-Nya.
Memang ada beberapa catatan tidak dimuatkan di sini khususnya pasca PRU-12 yang pada saya lebih getir pertempuran idea-nya. Namun tatkala kita sedang bergelut dengannya, eloklah saya membiarkan urusan itu berlaku dengan sendirinya. Jika ada tulisan berkenaan, saya akan cuba menulis dalam siri lain yang akan dimulakan selepas ini, insyaAllah




Klik Imej Untuk Senarai Penuh













