Anwar mohon perintah Mahkamah Syariah dakwa Saiful

Jan 8th, 2010 | By Admin | Category: Berita

7hb Januari 2010

Pagi ini saya telah memfailkan suatu Permohonan di Mahkamah Tinggi
Syariah Wilayah Persekutuan di Kuala Lumpur terhadap tiga pihak
iaitu, Ketua Pendakwa Syarie Wilayah Persekutuan (“KPS”), Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (“JAWI”) dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab mengenai hal-ehwal Agama Islam, Mejar Jeneral (B) Dato’ Hj Jamil Khir bin Baharom.

Permohonan saya adalah untuk mendapat suatu perintah daripada Mahkamah Tinggi Syariah terhadap KPS supaya menggunakan kuasanya bagi mendakwa MOHD SAIFUL BUKHARI BIN AZLAN (“MSB”) di atas kesalahan jenayah Qazaf di bawah Seksyen 41 Akta Jenayah Syariah Wilayah Persekutuan
1997.

Saya juga memohon kepada Mahkamah Tinggi Syariah memerintahkan
Pengarah JAWI dan Menteri tersebut supaya tidak menghalang dan/atau mempengaruhi KPS daripada menjalankan tugas dan tanggungjawabnya dalam pendakwaan terhadap MSB.

Permohonan saya tersebut adalah lanjutan daripada Laporan Qazaf saya bertarikh 9 Julai 2008 kepada Bahagian Penguatkuasa dan Pendakwaan JAWI terhadap MSB yang telah membuat suatu pengataan palsu bahawasanya saya telah melakukan perbuatan liwat ke atas dirinya pada tarikh 26.6.08.

Saya telah disiasat sebanyak dua kali dan saya telah menyerahkan
kepada JAWI kesemua bukti-bukti, di antaranya laporan polis, Sumpah
Laknat Saiful, laporan perubatan dan senarai saksi-saksi yang bersama
saya pada waktu kejadian.

Dalam bulan Ogos 2009 saya mendapat maklumat pihak JAWI telah selesai menjalankan siasatan mereka namun sehingga sekarang KPS masih belum mengambil apa-apa tindakan Mahkamah terhadap MSB. Kesemua surat-surat peguam syarie saya yang bertanyakan mengenai status Laporan Qazaf saya, tidak dijawab KPS.

Oleh itu saya agak terkejut apabila YB Menteri telah memberitahu
Parlimen pada 27 Oktober 2009 bahawa KPS memutuskan bahawa pendakwaan Qazaf terhadap MSB hendaklah menunggu perbicaraan Liwat di Mahkamah Tinggi Sivil selesai terlebih dahulu.

Saya ingin menegaskan bahawa kesalahan jenayah Qazaf adalah berbeza dengan kesalahan jenayah Liwat. Qazaf adalah kesalahan jenayah syarie yang tidak mempunyai persamaan dengan mana-mana kesalahan di bawah Kanun Jenayah yang digunakan di Mahkamah Sivil.

Saya memohon kepada Mahkamah Tinggi Syariah kerana Mahkamah Syariah mempunyai bidang kuasa eksklusif untuk membicarakan kesalahan Qazaf.

Mahkamah Syariah juga mempunyai kuasa untuk memerintahkan
Responden-Responden supaya menjalankan tugas dan tanggungjawab mereka ke atas kesemua pendakwaan dan pelaksanaan undang-undang jenayah Syariah di Wilayah Persekutuan.

Sebagai seorang Islam saya berhak untuk mendapat perlindungan terhadap maruah dan nama baik saya daripada dicemari seperti yang dijamin oleh Hukum Syarak.

ANWAR IBRAHIM

Tags:

Afiat

Leave Comment

Petikan dari para artikel "Beriklan Di PerakExpress.com": Kami tidak menyaring komentar-komentar sdr, kecuali komentar yang kuat berbau lucah dan berbau perkauman, terlampau mengeluarkan kata kesat, komentar yang berulang, komentar yang terlampau panjang dan komentar yang mengiklankan sesuatu produk.

Nombor ip yang sama nickname berlainan akan berada dalam consideration list, jika kami mengesyaki sesuatu kepada no IP tersebut, kami akan delete.

Kadang-kadang kami juga terlepas pandang akan sesuatu komentar yang tak patut tersiar. Kami berasa agak kurang adil berbuat demikian, tetapi kami tidak sengaja, jadi kami pohon maaf.