Penulis di Pentas Kongres
Jan 5th, 2010 | By Admin | Category: Berita, Blog Terpilih, Hasmi HashimOleh Hasmi Hashim/Jalan Telawi
Agenda Reformasi itu sendiri tidak akan ke mana, tak akan banyak membawa makna, tanpa perubahan fikrah; sedar untuk membuang faham lapuk yang bersarang dalam diri termasuk kalangan orang politik itu sendiri. Baik yang di seberang sana, atau di sebelah sini.
“Patutnya kau perkenalkan diri sebagai businessman ke… asalkan jangan penulis,” dia memberi nasihat. Saya dengar.
“Jadi, sebagai apa? Penipu!?” tanya saya.
Tidak.
Saya kata, saya penulis dan saya memperkenalkan diri sebagai seorang penulis.
Pernahkah diketahui dan insafi bahawa pejuang kemerdekaan dan pemimpin ulung bangsa Nusantara seperti Muhammad Hatta, Muhammad Natsir, Burhanuddin al-Helmy, Ahmad Boestaman bahkan Seokarno itu sendiripun tak lekang dengan kerja tulis-menulis? Mereka bukan sahaja dikenali sebagai ‘politikus biasa’ yang melambak sepertimana yang ada sekarang, tetapi juga sebagai penulis, kerana menulis itu adalah secebis petanda seseorang itu berfikir dalam setiap langkahnya. Termasuk keputusan politik.
Apakah mereka tahu hubungan intim penulis-dengan-pemikiran dan pemikiran-dengan-politik? Apakah selepas sekian tahun tohmahan, cacian jadi bahasa politik yang bermaharajalela, yang binasa kini bukan sahaja parti pemerintah, tetapi turut rosak adalah keseluruhannya lapangan politik itu sendiri?



Klik Imej Untuk Senarai Penuh













