Forum PMIUM membuka kesempatan manipulasi anasir perkauman

Jan 5th, 2010 | By Admin | Category: Arif Abdull, Penulis Tamu, Rencana, utama

Oleh Ariabdull

Semalam aku terima jemputan melalui Facebook untuk menghadiri satu forum berkaitan isu penggunaan perkataan Allah. Menurut jemputan itu, forum tersebut adalah program anjuran PMIUM dan FPF.

Pada mulanya, aku berpendapat bahawa program penerangan dan perbincangan terbuka seperti ini akan memberi manfaat yang banyak kepada rakyat, terutamanya dalam isu yang sedang hangat dibincangkan sekarang.

Aku lalu membuat satu pengumuman bagi menghebahkan maklumat program tersebut dalam blog ini di samping menyampaikannya melalui laman web facebook dan twitter.

Bagaimanapun, andaian awalku itu ternyata silap dan aku menyedarinya apabila mendapat reaksi balas melalui laman facebook oleh saudara Andrew yang telah mengingatkanku tentang bahaya program itu nanti.

Aku segera menghubunginya melalui telefon dan beliau berpendapat bahawa forum tersebut bahaya kerana ia bersifat provokatif. Kemudian, aku turut menghubungi beberapa aktivis sosial politik bagi mendapatkan pandangan mereka tentang perkara ini, dan mereka juga melahirkan rasa tidak bersetuju mereka terhadap rancangan mengadakan forum terbuka itu dengan alasan bahawa masa penganjurannya tidak sesuai dengan keadaan semasa.

Secara ringkasnya, semua pihak yang aku hubungi bagi meminta pandangan semalam berpendapat bahawa penganjuran program forum itu memang tidak sesuai dan akan menjadi medan pertembungan panas, memadai dengan sekadar menilai tajuk forum yang mereka sifatkan sebagai amat provokatif.

Jika diteruskan juga, kemungkinan besar akan menjadi peluang yang amat dinanti oleh anasir ‘perkauman’ untuk mengambil kesempatan dan mempergunakan program ini sebagai kambing hitam.

Kerana kesilapan itu, aku minta maaf jika ada yang telah keliru dan kini menarik balik pengumuman itu. Walaupun akhirnya nanti, jika program itu tetap dijalankan juga, aku tidak akan menghadirinya.

Aku juga menyeru semua pihak mengelakkan diri dari menghadirinya supaya kita semua tidak terjerumus dengan bertindak menyokong mana-mana perkara yang bersifat provokatif seperti forum ini.

Mungkin saja para penganjurnya akan berhujah bahawa tindakan mengadakan forum sebegini adalah bagi menyediakan ruang terbuka dan percambahan minda sebagai alasan menghalalkan hasrat mereka. Dalam keadaan biasa, memang diakui alasan sebegini merupakan satu niat murni yang benar-benar patut dipuji.

Bagaimanapun, ketika keadaan sekarang yang panas apabila para ahli politik ‘perkauman’ sedang sedaya upaya cuba memanipulasi dan memanaskan lagi isu ini melalui kenyataan dan tindakan mereka mutakhir ini, yakinlah bahawa kemungkinan besar akan ada pihak yang berani mengganggu acara itu nanti demi meningkatkan lagi rasa gelisah rakyat akibat berita buruk dari ketegangan yang berlaku dalam forum itu nanti.

Kecenderungan gangguan-gangguan anasir sebegini telah dapat dilihat dengan jelas ketika dalam forum yang telah diadakan di Petaling Jaya pada minggu lalu. Forum anjuran kerajaan selangor yang membawakan perbincangan ilmiah bagi merungkai persoalan samada kursus “Biro Tatanegara (BTN) adalah patriotik atau perkauman” itu pada awalnya memang merupakan medan diskusi yang sihat dan sangat memberansangkan.

Bagaimanapun, ketika pengerusi forum mula membuka ruang sessi soal jawab kepada hadirin, terdapat usaha provokasi yang datang dari kalangan penonton yang bertanya dengan penuh emosi dan akibatnya timbul sedikit rasa tegang dalam dewan.

Nasib baiklah pengerusi forum telah berjaya menyelamatkan keseluruhan acara melalui tindakan beliau yang bijak mengendalikan keadaan. Keadaan tegang itu juga berjaya dikendurkan oleh keupayaan para penalis menjawab beberapa persoalan sensitif secara bijak dan tegas.

Oleh yang demikian, walaupun sekiranya penganjur memang benar-benar berniat baik ketika mahu menganjurkan forum isu penggunaan perkataan Allah itu nanti, tetapi kegagalan pimpinan mahasiswa itu untuk mengambilkira dan meminta pendapat badan-badan mewakili masyarakat sivil atau pandangan rakan-rakan aktivis lain sebelum mengambil keputusan menganjurkan forum ini amatlah dikesali memandangkan kelemahan remeh sebegini tidak sepatutnya berlaku kepada golongan terpelajar ini.

Gagal berinteraksi dengan pihak-pihak berkaitan lain itu diburukkan lagi oleh kegagalan mereka sendiri untuk berfikir panjang sehingga mampu menjangkakan kesan buruk akibat program itu kelak.

Bagaimana mungkin para pimpinan mahasiswa yang bijak bistari ini tidak berupaya berfikir dalam sehingga gagal menjangka bahawa tindakan mereka itu akan berkemungkinan besar mampu membuka peluang bagi mana-mana pihak berkepentingan dalam isu perkauman ini untuk sengaja memanipulasi acara ‘diskusi ilmiah’ itu nanti agar menjadi satu medan pertembungan panas yang sukar dipadamkan.

Jika ini berlaku, semua pihak pasti akan menuding jari kepada penganjur program ini sebagai punca yang ‘memanaskan lagi’ isu yang sepatutnya tidak diperbesarkan ini.

Amat malang bagi seluruh rakyat Malaysia yang pasti bakal menanggung kerugian dan derita jangka panjang andai saja hajat sesetengah pihak yang sedang menangguk faedah dan manfaat politik akibat perbalahan kaum di negara ini berjaya mereka capai kali ini, sekali lagi.

Jika kita gagal memahami isu sebenar lalu membiarkan emosi kita dibuai rasa perkauman sempit yang saban hari mereka tiupkan melaluimedia-media itu, sudah pasti mudah bagi mereka untuk berjaya kali ini dengan hanya perlu memanipulasi (putar-belit) keputusan mahkamah tersebut menjadi isu perkauman beasr.

Kalau ini benar-benar terjadi, maka bersiap sedialah sebagaimana selama ini kita telah menderita akibat isu perkauman 1969.

Harap pihak penganjur dapat mengumpul maklumbalas dan pandangan semua pihak sebelum meneruskan agenda ini, melainkan program ini memang direncanakan oleh pihak yang mahu memberi peluang kepada ‘unsur perkauman’ mengambil kesempatan.

Dengan ini diharap supaya pihak yang terlibat agar segera tampil memberi penjelasan dan rasional penganjuran program ini. Memandangkan pengumuman pertama program ini pertamakali dilihat dalam ‘laman facebook’ milik SMM, aku telah menghubungi seorang orang penting SMM dan beliau menafikan mengetahui apa-apa perbincangan berkenaan rancangan ini pernah dibincang dalam SMM.

Jika benar pihak PMIUM terlibat, harap pemimpinnya segera tampil buat penjelasan sekaligus dapat mengumumkan pembatalan penganjuran program forum ini.

Tags:

Afiat

2 comments
Leave a comment »

  1. [...] Disiarkan buat pertamakali di Perakexpress.com [...]

  2. Aku turut tidak bersetuju dengan program tersebut.

Leave Comment

Petikan dari para artikel "Beriklan Di PerakExpress.com": Kami tidak menyaring komentar-komentar sdr, kecuali komentar yang kuat berbau lucah dan berbau perkauman, terlampau mengeluarkan kata kesat, komentar yang berulang, komentar yang terlampau panjang dan komentar yang mengiklankan sesuatu produk.

Nombor ip yang sama nickname berlainan akan berada dalam consideration list, jika kami mengesyaki sesuatu kepada no IP tersebut, kami akan delete.

Kadang-kadang kami juga terlepas pandang akan sesuatu komentar yang tak patut tersiar. Kami berasa agak kurang adil berbuat demikian, tetapi kami tidak sengaja, jadi kami pohon maaf.