Kaum Muda Lawan Kaum Tua

Dec 26th, 2009 | By Admin | Category: Hasmi Hashim, Rencana

Oleh HASMI HASHIM

Benturan generasi yang disebut sebagai “penentangan antara kaum muda lawan kaum tua” bukan persoalan baru. Bagaimanapun, penentangan itu bukan dalam bentuk fizikal. Bukan bunuh-membunuh, atau beradu lengan.

Ia adalah fenomena, dan di era moden menjadi seolah-olah perkara yang hampir pasti berlaku. Kaum muda secara automatis membawakan idea yang mereka faham dan percaya sebagai semangat zamannya. Petanda “semangat zaman” misalnya terpancar dalam musik. Musik orang muda, lain dengan musik orang tua ~ tetapi itu tak bermakna, orang muda menolak terus sesuatu yang retro.

Kaum tua pula lazimnya mahu mempertahankan statuq quo, selain kuasa yang mereka ada. Kelebihan kaum tua adalah mereka memiliki pengalaman. Kelebihan kaum muda pula berbekalkan idealisme yang kental.

Benturan pun berlaku di sana. Di dalam sejarah gerakan Islam di Nusantara sekalipun, bahkan sebelum wilayah-wilayah di Asia Tenggara ini mendapat kemerdekaan daripada penjajah, sudah wujud benturan sedemikian. Di kalangan ulamak dan agamawan muda, mereka akan berselisih dengan ulamak dan agamawan tua. Malah ketika itu, nama seperti Buya Hamka tergolong di dalam kalangan kaum muda.

Memang, sedikit sebanyak kaum muda agak progresif dan kadang-kala keras. Kaum tua pula, sekali lagi di atas pengalaman yang mereka ada, gayanya lebih lembut dan mereka lebih arif dengan tipu-lelah politik. Demikian, andai tidak ada desakan kuat kaum muda, maka orang-orang tua akan menguasai termasuk lapangan yang sewajarnya dipunyai dan dipimpin oleh orang muda.

Lihatlah bagaimana persatuan, organisasi dan pertubuhan yang memperjuangkan cita-cita generasi muda tetapi dikawal dan ditunggangi oleh orang tua. Hari ini pun, di negara kita banyak sekali contoh yang ada.

Kita tak akan bisa mengerti bagaimana Belia 4B misalnya dipimpin oleh Ali Rustam yang sudah bercucu! Sebagai politikus lama, tentulah Ali mempunyai rangkaian kenalan dan sumber kewangan yang banyak berbanding orang muda.

Dengan alasan itulah, kononnya untuk memudahkan perjuangan apabila cukup wang, maka Ali merasakan dia boleh membantu persatuan belia seperti 4B. Itu semata-mata alasan.

Yang dia tidak sedar, atau tidak mahu mengakui ialah dengan wujudnya wajah dan sosok tua seperti beliau di dalam Pergerakkan Belia 4B, maka anak-anak muda memandang jelek. Ini samalah dengan cerita gadis 17 tahun yang terpaksa berkahwin dengan orang tua 50-an. Ia tidak manis sekali. Ia hanyalah jadi bahan ketawa, walau bagaimana konon jujurpun cinta orang tua itu kepada si gadis.

Apatah lagi, kalau tak ada cinta. Tak ada kaseh sayang dan perkahwinan itu hanya sebenarnya kerana melayan nafsu orang tua. Kebetulan si tua itu, ada wang bertompok. Harta berlonggok.

Wang, harta, kekayaan bahkan pengalaman yang cuba memiliki dan mendominasi hidup orang muda adalah sesuatu perlakuan buruk di kalangan bangsa yang rendah budi dan tamadunnya. Di sana materialisme telah digunakan untuk menguasai aspek kemanusiaan seperti perasaan dan jiwa.

Walaupun tiada hukum yang putus daripada perspektif agama dalam hal ini, tetapi ia samalah dengan sikap tidak matang seorang bapa yang menikahi anak kawannya. Soal perasaan ditolak tepi, sementara si muda terlalu naif untuk memahami rakusnya dunia.

Penindasan bermula apabila “padang tak sama rata”; apabila satu pihak cuba menguasai pihak yang lain, atas kelemahan dan kekurangan pihak yang hendak ‘ditawan’.

Lagu Melayu pun mendendang:

Udang sama udang,
Mana nak sama anak tenggiri;
Bujang sama bujang,
Sudah kahwin tolak tepi!

Betapa budaya kita telah meletakkan pemisahan jelas antara tua dan muda ~ sekaligus meletakkan kedudukan yang tersendiri kepada orang muda.

“Bujang” dalam lagu itu mewakili orang muda, dan “sudah kahwin” mewakili orang tua, yang dipersenda sebagai “mana nak sama anak tenggiri”. Urusan orang muda adalah urusan orang muda dan orang tua tolak tepi!

Ini tidak bermakna rasa hormat kepada orang tua perlu hilang, sepertimana setiap anak wajib menghormati ibu-bapanya. Tetapi yang kita bicarakan sekarang adalah soal ruang dan peranan manusia di dalam persekitaran sosialnya, dan bukan hanya kepada persoalan individu-individu itu sendiri.

Jadi usahlah dikelirukan antara kedua persoalan tersebut. Sesiapa yang cuba mengelirukannya, jelas dia adalah “orang tua” walaupun usianya muda.

Persoalan yang jauh lebih besar daripada itu ialah apa gagasan anak muda hari ini? Kita barangkali tidak mampu menjawab sepenuhnya kerana keterbatasan pengalaman kita.

Jalan yang ada untuk mencari persoalan dan jawapan ialah bukan dengan hanya mempertajam pengamatan terhadap persekitaran dan zaman, tetapi juga kegigihan kita dalam menerokai bidang pemikiran.

Kecelakaan pertama adalah apabila anak-anak muda hilang idealismenya. Selain disebabkan wang-ringgit, juga berpunca kerana politik-kekuasaan. Galak berebut pangkat dan kedudukan. Ia sama seperti bayi yang mati sebelum lahir.

Padahal kekuatan bangsa tak kekal dengan pangkat-kedudukan seperti tak kekal kerana kekayaan semata-mata: berapa banyakkah kerajaan kita yang sudah jatuh, tenggelam dan dilupakan?

Kekuatan bangsa akan lebih mampu bertahan dan berkembang dengan aspek yang lebih mendasar daripada hanya perebutan kuasa semata-mata.

Saya, dengan mata kepala saya telah menyaksikan bagaimana perjuangan Reformasi sejak lebih sedekad lalu juga melahirkan anak-anak muda yang rakus dengan pangkat, dengan kedudukan. Hari ini bercakaran soal remeh-temeh.

Mereka mungkin salah faham dan menggunakan cabaran getir di era Reformasi menentang pemerintah sebagai latihan mempertahan skill dan helah politik-kekuasaan. Daripada pengalaman menentang rejim Dr Mahathir Mohammad, digunakan kembali untuk bercakar sesama sendiri, menekan sahabat sendiri.

Namun, kerana mereka adalah anak-anak muda, mereka tak pernah terlambat untuk menyedari bahawa perjuangan hidup ini dan andai ada kuasa yang perlu dipertahan atau perlu diraih, tak akan bermakna tanpa keinsafan menggalas semangat zaman ini.

Ia adalah soalan yang sama tentang apa sesungguhnya yang perlu dilakukan kepada kekasih yang sangat dicintai? Tentu bukan sekadar soal nafsu dan materialisme, walaupun keduanya tak sepenuhnya salah dan tetap ada kepentingannya; tetapi takkanlah tak ada yang lebih besar dan bermakna dari itu?

Hanya dengan menyedari aspek ini, barulah kelak anak muda pendukung Reformasi akan benar-benar mampu merubah zaman. Memberikan cahaya kepada kegelapan.

Tags:

Afiat

7 comments
Leave a comment »

  1. teruskan saudara Hasmi.
    Saya percaya anda Muda dan tergolong dalam golongan muda,
    Arakian itu bentuklah, semailah dan bajailah pemikiran pemuda dengan falsafah yg jitu.

  2. tq bro…semua org muda mesti baca ini tulisan, tp tajuk nya kasi lembut skit la..nanti bung terase..huhu

  3. mintak izin bro hasmi utk sya emailkan kat kekwn tulisan diatas. Mngkin gak nak print dn fotostat kan bagi semua org muda yg sy kenal. truskan bro, teruskan……!

  4. Tengok ajelah, golongan mana yang paling ramai menyokong UMNO-BN?

    Tentulah golongan tua. Alasannya, alsan tua yang dah lapuk….. Zaman kami dulu susah. UMNOlah yang banyak menolong kami pada masa susah tu. Natijah daripada itu, majoriti orang-orang Melayu sampai sekarang nak bertongkatkan UMNO, konon UMNO itu pejuang Melayu!!! Piirah…!!!

    Dan bukan sesuatu yang pelik bila majoriti belia Melayu pun dah nak guna tongkat, walhal tenaga muda mereka masih berangkat-angkat!!!

    Sebab tulah Belia 4B terus mengekalkan pengerusi, atau presiden, atau Ketua (atau apa sahajalah istilahnya) di kalangan orang tua yang berduit, sebab golongan belia yang betul-betul muda dalam 4B tak ada yang betul-betul berduit macam Tok Ali Rustam….

    Cucu senang mintak duit dari atok beb…..

  5. ..tapikan, tak brape sedap le menggolongkan nye dgn ‘kaum tua’…ramai juga kalangan kaum ini yg mempamer kebijakan kepimpinan, dinamisme pemikiran..dsai, msk contohnye…bukan ape, takut gelincir persepsi ni menyentuh rase deme pulak…

    udang sama udang
    mana sama anak tenggiri
    bujang sama bujang
    sudah kawen tambahla lagi…
    ..salut sama lu bro…

  6. Salam buat semua. Gembira apabila pandangan kecil ini diterima dan mahu disebar luas demi kebaikkan menghidupkan semangat dan ideslisma. Saya sedar betapa takkan mampu melakukan ‘urusan zaman’ seorang diri. — HH

  7. ali rustam dh x pegang jawatan presiden 4b…skrg ni sume muda2 yg pegang jawatan…org tua dh xde…korang ni x peka ngan perkembangan semasa ke?

Leave Comment

Petikan dari para artikel "Beriklan Di PerakExpress.com": Kami tidak menyaring komentar-komentar sdr, kecuali komentar yang kuat berbau lucah dan berbau perkauman, terlampau mengeluarkan kata kesat, komentar yang berulang, komentar yang terlampau panjang dan komentar yang mengiklankan sesuatu produk.

Nombor ip yang sama nickname berlainan akan berada dalam consideration list, jika kami mengesyaki sesuatu kepada no IP tersebut, kami akan delete.

Kadang-kadang kami juga terlepas pandang akan sesuatu komentar yang tak patut tersiar. Kami berasa agak kurang adil berbuat demikian, tetapi kami tidak sengaja, jadi kami pohon maaf.