Syurga Bukan Milik Mutlak Muslim!
Dec 15th, 2009 | By Admin | Category: RencanaOleh: Aqil Fithri
Tak seperti kebanyakan agamawan yang kita kenal, Murtadha Muthahhari jelas amat berbeza. Falsafah Islam sudah tentu dalam tangannya. Tapi, Muthahhari juga memahami falsafah barat dengan cukup baik. Sebab itu, tak hairan, dalam buku-bukunya kita mudah menemukan kejernihan kritikan darinya. Ini sekaligus mengingatkan kita sesuatu sosok yang hampir-hampir tak dimiliki dari kalangan agamawan yang lain. Bersama Haidar Bagir, Pengarah Penerbit Mizan (Indonesia), AQIL FITHRI, yang kini melakukan penyelidikan mengenai Iran dan Indonesia dalam aktivisme intelektual setelah Revolusi Islam Iran (di bawah zamalah Cendekiawan Awam Asia (API) 2009/2010 tajaan Nippon Foundation), berkesempatan untuk mewawancaranya. Menerusi tesis-nya, Mystical Experience in the Epistemology of Mulla Shadra and its Comparison with Heidegger’s Idea about Thinking (Denken), Haidar Bagir ternyata antara segelintir ‘aktivis falsafah’ yang maseh cerdas berbicara mengenai Muthahhari.
Murtadha Muthahhari antara filsuf yang menarik. Tapi, sayang tak begitu dikenal. Apapun, terlepas dari semua itu, apakah falsafah-falsafah cemerlang dari Murtadha Muthahhari yang boleh kita belajar?
Kalau dibaca buku saya yang berjudul, “Muthahhari Sang Mujahid, Sang Mujtahid,” di situ ada huraian lengkap. Pada saya, Murtadha Muthahhari ini sebetulnya adalah gabungan antara pemikir dan aktivis gerakan. Memang tak dinafikan lagi Muthahhari adalah pemikir. Namun, sama ada secara kebetulan, atau pun benar-benar demikian., Muthahhari turut terlibat dalam gerakan. Seperti dalam buku kecil saya tersebut, diungkapkan bagaimana Muthahhari memang ingin mengerakkan perubahan sosial. Berbeza sifat sebagai seorang pemikir, mereka biasanya hanya menulis dan membiarkan saja. Sebaleknya Muthahhari tak begitu, malah merasakan penting untuknya melibatkan diri dalam gerakan perubahan di Iran. Di tambah lagi, Muthahhari melihat fikiran-fikiran barat, seperti materialisme, dalam tanggapan yang sungguh-sungguh. Justeru, bagi saya, karya-karya Muthahhari mempunyai dua ciri tulisan. Pertama, tulisan yang mencerminkan untuk orang awam, dan juga tulisan yang memang memaparkannya sebagai seorang filsuf. Buku-bukunya seperti, Maghalate falsafi, Osool -e Falsafa va ravesh -e- Realism, Sharh -e- Manzume, dll, itu semua termuat dalam bangunan kefalsafahan. Jadi, jelas Muthahhari itu ada dua sisi, pemikir dan ahli gerakan. Semua ini ditulis Muthahhari sama ada sepenuhnya untuk falsafah, atau pun untuk menjawab persoalan-persoalan zaman. Pada waktunya, Muthahhari melihat, Marxisme di satu sisi dan materialisme filosofis dari sisi lain. Baginya, Marxisme itu jelas adalah materialisme. Begitu juga kapitalisme. Maka, pada saya, kecemerlangan Muthahhari adalah kerananya mempunyai pengetahuan yang sangat baik tentang falsafah Islam. Lebih menarik, Muthahhari mampu menyajikan itu semua dengan cara yang mudah untuk difahami. Mudahnya itu bukan hanya terdapat pada buku-buku popularnya saja, bahkan pada tulisan-tulisan falsafahnya. Ketika saya di Harvard itu, saya membaca makalah Sayyed Hossein Nasr, tentang “principiality of existence.” Tapi, waktu itu saya tak memahami persoalan tersebut. Namun, bila saya membaca pandangan Muthahhari tentang permasalahan yang sama, maka tersingkap banyak kejernihan. Mungkin juga gaya penulisan Muthahhari cocok dengan gaya pemikiran saya. Jelas, Muthahhari tak kurang kedalamannya, apatah lagi, pandangannya mudah sekali. Kerana itu, Muthahhari pada batas-batas tertentu, pemikirannya sudah menjadi sintetik. Ini bermakna, pemikiran Muthahhari bukan semata-mata analitik lagi. Selain itu, Muthahhari turut membina spektrum pemikiran. Seperti yang kita tahu, Muthahhari itu adalah pengikut mazhab Mulla Sadra. Sebab itu, tak hairan, tempias pandangan-pandangan Sadra itu hadhir dalam karya-karya falsafahnya. Inilah kekayaan dan kecerdasan yang ada pada Muthahhari. Pernah Thaba’thaba’i berkata, “sewaktunya mengajar, bila nampak kehadhiran Muthahhari, terus hatinya menari-nari kegirangan.” Ini kerana, kata Thaba’thaba’i, “apa yang disampaikannya pasti akan terakam pada Muthahhari.” Hal yang sama juga dikatakan Imam Khomeini, yang sampai menyebut, “Muthahhari adalah buah hidupnya.” Walau bagaimanapun, filsuf di Iran itu jumlahnya ramai. Namun, di sebalek yang ramai-ramai itu, Muthahhari tetap punya kelebihan tersendiri, di mana falsafah Islamnya yang tak kalah dengan filsuf manapun di Iran, malahan di dunia Islam sekalipun. Yang tak ada pada kebanyakan filsuf lain, Muthahhari berkemampuan untuk menulis dengan bahasa-bahasa aktual, relevan dan lebih mudah difahami.
Tapi, sekarang bukankah ada Ayatollah Mohammad Taqi Misbah Yazdi yang terkenal dengan Amuzesh-e Falsafeh?
Memang, kalau ada yang menyebut pengganti Murtadha Muthahhari yang paling dekat, itu barangkali Ayatollah Mohammad Taqi Misbah Yazdi. Tapi, cubalah lihat tulisan Taqi Misbah Yazdi. Bukan saja dalam karya-karya falsafah, malahan tulisan-tulisan popular juga ditulisnya dalam bahasa yang sangat kering, yang sarat wacana-analitik. Sebaleknya, Muthahhari berbeza. Muthahhari itu menulis sangat dalam, tak kurang kefalsafahannya, namun pada saat yang sama mampu kita nikmati, serta mengerakkan. Kalau Taqi Misbah Yazdi itu satu nada saja. Memang dalam. Tapi, Muthahhari bukan saja dalam, namun tentunya mudah difahami, enak dibaca, dan mengerakkan. Itu saya kira itu kelebihan-kelebihan dari Muthahhari
Salah satu hal yang mengundang perhatian dewasa ini ialah tentang pluralisme. Apakah Murtadha Mutahhari ada menyinggung wacana pluralisme, khususnya hakikat perbuatan baik bukan-Islam?
Ya, sudah tentu ada. Satu penerbit iatiu IIMAN, mereka telah menerbitkan buku yang berjudul, “Apakah Mother Theresa Masuk Syurga?” Buku tersebut sebetulnya mengutip satu bahagian dari buku Adl-e- Elahi, karya terkenal Murtadha Muthahhari itu. Pada Muthahhari memang jelas, mana-mana bukan-Islam yang baik, yang ikhlas, yang sentiasa mencari kebenaran, itu sebenarnya dapat disebut sebagai “muslim fithri.” Dan, tentu sebagai muslim fithri ini, dia juga dapat masuk syurga juga. Ini memang jelas ditulis Muthahhari dalam Adl-e- Elahi tersebut. Saya juga mengupas soal ini dalam buku kecil itu, “Muthahhari Sang Mujahid, Sang Mujtahid.”
Anda sendiri bagaimana?
Sudah tentu itu pendirian saya juga—bahawa bukan-Islam boleh saja masuk syurga!
Tapi, apa hujah-hujahnya?
Pada fikiran saya begini. Kata kafir, atau kafara itu bermakna mereka yang menyembunyikan keyakinan, to cover up. Jadi, orang kafir itu bukannya bermakna orang bukan-muslim. Menurut saya, memang ada muslim, yang memang sah-sah saja kita tahu bukan-kafir, tapi ada juga muslim yang kafir. Buktinya? Ada muslim yang percaya pada Tuhan, tapi menjadi pencuri, melakukan rasuah, dll. Pada saya, itu adalah orang kafir! Atau, paling-paling tidak, pada saatnya mencuri, rasuah, dll itu, maka pada waktu itu mereka adalah kafir. Kalau kita lihat, ada hadith yang menyebutkan, “seorang penzina tidak akan berzina jika ketika itu dia berada di dalam keimanan. Seorang pencuri tidak akan mencuri jika ketika itu dia berada di dalam keimanan. Begitu juga seorang peminum arak tidak akan meminum arak jika ketika itu dia berada di dalam keimanan.” Jadi, setiap muslim yang berzina, muslim yang mencuri, itu adalah orang kafir. Sebaleknya, bukan-Islam yang baik, yang ikhlas, yang percaya bahawa agama Nasrani itu adalah agama yang benar, lalu beramal soleh, itu menurut saya bukan orang kafir. Sekali lagi, kalau dalam bahasa Muthahhari, mereka adalah “muslim fithri.” Saya maseh ingat, Muthahhari memberikan contoh mengenai Rene Descartes. Dalam Discourse on the Method, Descartes berkata, “pada satu saat dalam perjalanan hidupnya akan menemukan agama lain yang lebih baik,” kebetulan Descartes menyebutkannya seperti di Iran, “maka, saya akan meninggalkan agama sekarang dengan agama yang baru.” Jadi, apakah orang seperti Descartes ini dihukum kafir?
Bagaimana jika seseorang itu muslim, tapi yakin dan ikhlas bahawa ateisme itu ternyata baginya adalah lebih baik, lalu kemudian memilih ateisme? Apakah ada keamanan juga untuk orang seperti itu?
Sekali lagi, jika orang itu ikhlas, kemudian tetap berbuat baik, maka boleh jadi ateis itu pun akan masuk syurga, meskipun tentu saja saya menganggapnya keliru.
Jadi, dalam persoalan baik-buruk, apa neraca yang digunakan Muthahhari?
Muthahhari ini orangnya rasional, dan jelas imannya kuat pada agama Islam. Tapi, dalam waktu yang sama, seperti yang saya katakan, Muthahhari tak boleh menerima bahawa ada orang Nasrani, atau mereka dari agama-agama lainnya, yang semua mereka itu baik, beramal-soleh, lalu kemudiannya terus dihukum neraka oleh Tuhan. Muthahhari tak dapat menerima itu. Mithalnya saya ada teman di Amerika Syarikat. Pada saya, dia sangat baik, sentiasa menolong orang yang susah, tiba-tiba dia masuk neraka. Saya kira, itu bukan sifat dari Tuhan yang kita percayai. Sebenarnya semua ini adalah common sense saja. Kalau mahu lihat dalilnya, dalam al-Qur’an jelas sekali. Mithalnya, “ laqad kafaral lazina kalu innallaha thalithu thalathah…”, iaitu, “sudah kafir bagi mereka yang berkata bahawa Tuhan itu satu dari tiga (trinity).” Dari ayat tersebut, saya boleh menafsirkan dari pelbagai sudut. Itu boleh ditafsirkan sebagai Paul dan mereka-mereka yang membuat bida’ah yang menyimpang dari ajaran Isa yang sejati. Tapi, bagi mereka yang tak mengikuti Pauline Christianity ,dan mereka-mereka yang membuat bida’ah, seperti itu tak boleh dikatakan kafir. Tuhan juga pernah berfirman, bukankah mereka yang paling dekat dengan kamu (Muhammad) itu, adalah para pendeta Nasrani. Malahan, pernah Rasulullah menyatakan seorang musyrik masuk syorga kerana budi-budi baiknya. Belum lagi ayat al-Qur’an yang menjamin keselamatan orang-orang Nashara, Yahudi, dan Shabi’in, asal saja mereka beriman dan beramal baik. Jadi, meski orang lain boleh memiliki penafsiran berbeza, kita sebenarnya tak kekurangan dalil.
Justeru, adakah ini membuktikan bahawa mana-mana agama pun adalah benar?
Bukan begitu. Keyakinan saya, sebenarnya sirat al-mustaqeem itu benar-benar agama Islam. Kalau dalam bahasa matematik, jarak terpendek antara dua titik, itu adalah Islam. Justeru, pada saya, tetap Islam itu benar. Saat saya bilang orang Nasrani yang ikhlas itu masuk syurga, saya tak menyatakan bahawa agama Nasrani itu benar. Agama Nasrani pada saya tetap menyimpang, tetap keliru, tetap salah. (Sebagaimana orang bukan-Islam menganggap Islam itu salah). Namun, dalam persoalan judgement, itu adalah persoalan lain. Maka, di sini kita harus bezakan dua aspek dari pluralisme. Satu aspek, pluralisme itu boleh diertikan sebagai semua agama adalah sama benar. Tapi, dalam aspek lain, saya boleh mengatakan bahawa semua orang boleh selamat dengan keikhlasan dan keyakinannya. Walau bagaimanapun, saya tak sesekali menyatakan bahawa semua agama itu adalah benar. Ini jelas. Maka, harus dibezakan antara kebenaran agama, dan keselamatan pemeluk agama.
Menariknya, di sini bukan saja melibatkan persoalan etika–baik-buruk– tapi turut melibatkan persoalan epistemologi, iaitu bagaimana seseorang memperoleh pengetahuan. Bila berbicara soal epistemologi, biasanya falsafah barat mendukung dua sisi, iaitu emperisme dan rasionalisme. Namun, Islam pula menambah satu lagi, iaitu intuisi, atau bahasa lain, fu’ad/qalbu. Inilah yang dinamakan sebagai epistemologi sukmani. Persoalan di sini, bagaimana tazkiyatun nafs dapat memberi pengetahuan baru? Apakah mekanisme-nya?
Nah, nanti akan terbit buku saya yang berjudul, “Mengungkap Yang Tak Terungkap.” Itu sebenarnya dari hasil disertasi doktoral saya. Dalam buku tersebut, saya menjelaskan pengalaman tasawwuf sebagai ilm hudhuri.
Barangkali anda dapat kongsi sedikit mengenai kandungan buku tersebut?
Jadi, buku ini merupakan penjelasan falsafah mengenai tasawwuf—bagaimana ada hujah bahawa kita tak boleh menolak ada pengalaman ruhani sebegitu. Namun, hal ini dapat dijelaskan menerusi al-ilm al-hudhuri. Maknanya, kita harus ada cara pandangan lain. Seperti kita tahu, ilmu hudhuri (presential knowledge) itu adalah pengetahuan yang berbeza dengan al-ilm al-husuli (knowledge by acquisition). Dalam analisis lebih jauh, setiap pemikiran, meskipun itu adalah al-ilm al-husuli, haruslah melibatkan suatu ilmu lain yang bersifat presential. Tanpa itu, tak ada pengetahuan yang dapat diperoleh. Buku saya itu juga menunjukkan bahawa pengalaman mistik itu adalah suatu instance dalam ilmu hudhuri.
Sebenarnya, apakah anda melihat dalam idea-idea Murtadha Muthahhari juga terdapat persoalan-persoalan falsafah tabii (natural philosophy), seperti masa, ruang, gerakan, dll?
Saya tak ingat ada sesuatu yang berbeza dari Mulla Sadra tentang falsafah tabii ini. Pada Mulla Sadra, gerakan tak hanya terbatas pada beberapa kategori Aristotelian yang biasa, melainkan juga terjadi pada arasy substans, iaitu harakah al-jawhariah. Murtadha Muthahhari menerapkan konsep-konsep tersebut dalam ragam tema, seperti manusia, alam, dll, meksipun dasarnya adalah harakah al-jawhariah juga.
Baiklah, barangkali soalan terakhir, apakah falsafah Murtadha Muthahhari maseh lagi penting untuk menghadapi zaman yang kental pluralisme, liberalisme, dan sebagainya ini?
Tentu sangat relevan lagi. Tentang pluralisme, kita sudah lihat konsepnya pada perbuatan baik bukan-Islam. Tentang liberalisme, pada batas-batas tertentu, Murtadha Muthahhari itu adalah liberal. Pernah dalam satu ceramahnya di Qom, Muthahhari menganjurkan supaya di Qom itu diajarkan Marxisme. Malah, sebaiknya tegas Muthahhari lagi, mestilah yang mengajar tersebut adalah yang benar-benar yakin pada Marxisme. Ini kerana, Muthahhari tak mahu kuliah tersebut diajar oleh muslim yang tak percaya pada Marxisme, kerana nanti akan berlaku kesendengan (bias). Nanti, setelah itu, baru tiba giliran kita untuk melakukan kritikan-langsung. Justeru, Muthahhari pada batas-batas tertentu, memang liberal. Walau bagaimanapun, liberalnya itu bukan dalam erti liberalisme utuh yang difahami Barat. Meskipun demikian, Muthahhari sentiasa percaya pada pertukaran pendapat tanpa batas. Bahkan, Muthahhari juga tak percaya pada pelarangan-pelarangan (censorships), dll. Sebab itu, saya kira pemikiran Muthahhari sangat relevan lagi.
Artikel asal boleh dilihat disini.



Klik Imej Untuk Senarai Penuh














Jaga2 dengan artikel ini…rujuk ulama muktabar
huish…panjang nyer…
MACAM MANA DENGAN PANDANGAN YANG INI PULAK…..?
Zane
October 7, 2009 • 1:58 PM
Pandangan yang sangat menyimpang! kalau mengikut hukum akal kamu,
“”"bapa saudara nabi Muhamad s.a.w Abu Talib yang amat disayangi beliau pasti masuk syurga kerana beliaulah orangnya yang mempertahankan nabi Muhamad s.a.w. tetapi beliau tetap dibakar api neraka? Mengapa?”"”"
Kerana beliau tidak memeluk agama Islam! Bukan Islam itu kafir dan masuk neraka! Tak kira siapa walaupun mother teresa!!
aku tak jumpa apapun yg bermanfaat kat sini…..
sirah rasulullah mencatatkan bahawa pada satu ketika seorang pemuda yg belum islam … ingin turut serta bersama Nabi dalam perang (tak ingat perang apa)… namun nabi (s.a.w) memaklumkan bahawa pemuda itu perlu masuk islam terlebih dahulu .. agar perjuangannya tidak sia-sia… di sisi Allah..
Al-quran pula.. jelas menyatakan … Allah hanya redha ISLAM di jadikan agama…
kafir membawa makna menentang atau ingkar.. (manakala non-muslim atau tidak islam satu perkataan lain yang lebih besar dari kafir…dan dalam kontek kita org melayu, perkataan kafir secara umumnya ditujukan kepada tidak islam, …sedangkan makna kafir ialah ingkar/menentang… dan dalam artikel ini pula .. amat kabur di antara makna kafir yg sebenar dengan tidak islam…
sejak nabi adam hingga nabi terakhir muhammad s.a.w .. membawa tugas sebagai pesuruh Allah .. memberitahu manusia untuk beriman kepada Allah… bukan trinity, bukan marxisme,, bukan kominisme.. bukan matahari,, bukan berhala… bukan atheis …dan lain -lain kepercayaan ..
apa itu muslim? muslim ialah mereka yg mengucap dua kalimah syahadah ,,.. so non-muslim tu apa ?.. yg tidak bertuhan kan Allah dan berRasulkan Muhammad s.a.w. .. simple… then camna nak masuk syurga ?.. tanpa memenuhi syarat ini… Ateisme ? yg tak percaya tuhan ?.. di mana pula syurga kalau Allah di nafikan ?
dah jelas lagi bersuluh… hanya org2 yg beriman saja maksud syurga… ALLAH tak kata org ISLAM masuk syurga ALLAH cuma kata ISLAM adalah agama yg diiktiraf oleh ALLAH.
Tapi bila beriman, dah tentu confirm ISLAMnya.
agama yg ALLAH redha islam, syarat masuk syurga beriman & takwa.
tetapi bukan sebab amalan kita, masuk syurga dgn ihsan ALLAH.
tak islam tentu kafir dan tak beriman kpd ALLAH, ada ke dlm quran @ hadis yg mengatakan kafir boleh masuk syurga????? berhati2 dgn artikal yg boleh menyesatkan aqidah.
ALLAH tuhan yg esa
ISLAM agama yg di redhoinye.
SELAIN DARI ITU BATIL DAN SALAH….
“Laailahaillallah Muhammadur Rasulullah”.
Ilmu manusia terlalu sedikit dibandingkan dgn ilmu Allah.
Kalaulah bukan kerana tulisan ini berbentuk akademik, maka tulisan ini tidak ada beza dengan ajaran Kerajaan Langit Ayah Pin.
Syiah dan Ayah Pin…..kedua-duanya sudah diwartakan sesat oleh JAKIM !
saya sokong pada artikel ini cuma ada sedikit tafsiran saya sendiri dari pengalaman
bagaimana mahu masuk islam? cukup dgn mengucap 2 kalimah syahadah. yakin pada keesaan dan kewujudan Allah dan nabi muhamad pesuruh Allah.
kalau seorang kristian itu percaya pada Allah ttp terkeliru dalam disebabkan pembelajarannya yang salah semasa awal dengan konsep trinitinya dan hanya diakhir hidupnya terdetik tuhan itu esa dan muhamad itu rasul maka dah tentu dia itu islam walaupun saksinya tiada. dan kalau muslim itu mencuri dan pada masa dia mencuri itu terdetik dalam hatinya tuhan tak nampak ke… apa ke… maka dah tentu pada saat itu dia tidak yakin dengan sifat tuhan dan pada masa itu dia jadi kafir… jadi kita janganlah mengatakan seseorang itu kafir atau tidak kerana kita tak nampak isi hatinya. hanya Allah yang dapat menilai.
seboleh-bolehnya kita mendidik bukan islam dengan akhlak islam. tepati janji, tidak mengkhianati perjanjian, tidak sombong( anggap parti kita hebat ke..) dunia ini memang penuh dengan muslihat dan ingat dunia ini hanya sementara. bagi orang islam kita kena kejar kehidupan di akhirat.. tak perlulah risau cina nak rampas malaysia ke..
Ada sesetengah ustaz / guru kita mengatakan terdapat juga orang mukmin yg mana setelah di’timbang’ dgn Mizan, amalan baiknya sama banyak dgn amalan buruk/dosa. Maka mereka tidak ke syurga mahupun ke neraka. Akhirnya sebahagian (atau kesemua) drpd mereka dimasukkan ke syurga dengan rahmat/ ‘ihsan” Allah Azawajalla.
Saya terfikir, bagaimana dgn orang2 Asli, mislnya di tengah2 huran Amazon yg luas, tidak pernah mendengar tentang nur Islam..
Wallahu a’llam.
bro msk @ bro sam ,
please walau camnepun lu orang nak ‘bebas’ berpandangan
artikel akidah liberal maha karut cam ni you kena buang
mana boleh lu biar orang main2 syadah ilahiah dan kerasulan Muhammad
please bro , itu pegangan asas kita orang Islam
lain le kalau korang tak nak Islam dah …
tapi selagi korang masih mengaku Islam benda cam ni jangan buat main
kalau nak buka debat dailog agama , buka satu ruangan khas
dan hanya yang mendalam bab ni dan bagi yang mahu cari kebenaran
kalau tak bro semua perkara nanti ok dan boleh
mahathir pun nanti tak de salahnya
sebab kalu syahadah boleh pusing dan auta , yang lain2 lagi sempoi dan takde salahnya
nash rawy - apa kata lu ?
dan dalam Islam kita bicara yang terzahir - mengucap syahadah
yang tersimpan dalam batin - itu kerja Tuhan
sbb mana kita bboleh belah dalam dada dia untuk tau apa dalamnya
so bro please bro msk , you tarik keluar artikel akidah liberal karut ni
itu belum kira dalam fahaman liberal assalamualaikum boleh tukar hello
@ Quran yang lengkap ada pada ibnu mas’ud dan entah pelbagai karut lagi
Nak dapat syurga Allah kena beriman dengan Allah dan Rasulnya dan melakukan apa yang disuruh dan meninggalkan apa yang dilarang. Orang Kristian tu percaya ke dengan Nabi Muhammad? Dalam Alquran tu pun awal2 lagi dah ada jumpa ayat melaknat orang percaya tuhan tu mempunyai anak.
Walau macam mana pun tak layak pada sesiapa pun yang kata “golongan aku saja yang masuk syurga Allah dan golongan kau akan masuk neraka” sama ada kau tu Muslim, Kristian atau yahudi. Yang penting buat la amat kebajikan dan berdoa moga dapat rahmat daripada Allah dan dimasukkan dalam Syurga.
Bukan Islam walau macam mana baik pun tapi tak percaya kepada Allah tetap akan kena azab dan orang Islam walaupun percaya kepada Allah tapi tak sembahyang juga akan kena azab Allah.
setakat yang aku mengaji
1. sebelum masuk neraka ke atau syurga ke
Allah tanya dulu - dah sampai ke belum seruan Allah kepada mereka
ada kelompok manusia mengatakan, belum.
maka umat muhammad s.a.w. yang beriman, akan menjadi saksi keatas mereka, mengesahkan bahawa telah sampai kepada mereka seruan itu, siap, berserta dalil dan hujah
maka tak terkata lah kelompok itu dan mengaku lah mereka
oleh itu, tidak ada sebab untuk mana mana kelompok, untuk mengatakan mereka ‘tidak menerima / belum mendengar / tidak sampai kepada mereka’ seruan Allah. Allah lebeh mengetahui apa yang ada dilangit dan dibumi. Tugas kita menyampaikan setakat yang kita termampu. Tak perlu ‘pening’ dengan urusan Allah. masing masing bertugas untuk menyampaikan setakat yang termampu / terdaya.
2. bab apa yang ada dalam hati, itu juga urusan Allah. takperlu pertikai, atau didebatkan. Serah kepada Allah. Allah lebeh dekat dengan kita dari kita sendiri. Allah lebeh tau dari kita. Kita sendiri tak tau apa nak dimakan dan dimana kita nak makan besok. Kita hanya boleh merancang, penentuan terakhir terletak kepada kekuasaan Allah. Berapa banyak rancangan kita tak tak ikut jadual. dan tersasar jauh dari jadual asal.
Contohnya, kita merancang untuk makan mee goreng, di sebuah kedai. Tapi bila tiba masa nya, ada orang ajak pegi makan kenduri dirumah dia. Kita tak boleh nak elak lagi, oleh sebab malu alah atau apa apa sebab le, dan kita ubah haluan. Kemudiannya balik kerumah. Esok pulak lain jadinya. Begitu lah kita sebagai manusia. Tersasar jauh dari rancangan asal.
3. Soal Islam serta beriman seseorang itu. Itu juga, serah kepada Allah. Bukan urusan kita menentukannya.
4. Soal Syurga atau Nerakanya seseorang, itu juga serah kepada Allah. Itu juga bukan urusan kita menentukannya.
5. Pastinya pembaca tertanya tanya, habis kalau semuanya urusan Allah, kita ni apa, ye…?
Jawapan mudah dari aku, ini mengikut yang aku mengaji le:
Mana mana yang milik Allah, kita jangan pandai pandai jatuh hukum. Serah kembali kepada Allah.
Kalau nak jatuh hukum juga, pegi mengaji dulu, sampai khatam selok belok dalam berhukum.
Jangan pandai pandai nak berdebat bab hukum dalam blog. Sebab bab hukum dan aqidah ni, biar pakar sahaja yang berdebat atau berhujah. Itu bidang mereka.
Kita sebagai orang awam ni, cukup setakat berkias secara umum. sebagaimana setakat yang kita mengaji. Kalau amalan begini, menuju Syurga, kalau amalan macam tu menuju neraka. Tapi bukan, menentukan orang ini, atau orang tu terjun keneraka atau masuk syurga.
Nabi Muhamamad sendiripun tidak punyai kuasa menentukan siapa masuk neraka atau syurga.
Dalam satu riwayat, ketika Nabi Sallallah Alaihiwassallam menziarahi kubur ibu dan bapa beliau. Sahabat berkata, beruntung lah ibu dan bapa Nabi Sallallah Alaihiwassallam. Kerana beliau, boleh berdoa untuk keduanya. Kerana sahabat tau, doa Beliau diterima Allah. Kemudian dari itu, Nabi Sallallah Alaihiwassallam, bersabda, ‘maksudnya lebeh kurang’, beliaupun, tidak dibenarkan oleh Allah, untuk berdoa untuk keduanya, kerana amalan keduanya kepada terserah kepada Allah menentukannya.
Itu Nabi Sallallah Alaihiwassallam, yang maksum dan diterima Allah doanya, pun terhijab dari urusan Allah. Apa tah lagi kita.
OLEH ITU aku setuju dengan - 11.abe December 17th, 2009 19:59 :
aku sokong 100% cadangan dia. Tepat lagi kukuh.