Selepas Coca Cola, kita disajikan Pepsi Cola

Dec 8th, 2009 | By Admin | Category: Rencana, black

Oleh Black

Pertama kali disiarkan oleh The Malaysian Insider.

DIS 7 —Ramai yang kecewa dan terkilan sebaik sahaja Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama mengumumkan untuk menghantar 30,000 tentera tambahan ke Afghanistan. Di dalam pelan terbarunya untuk Afghanistan, beliau turut menyatakan bahawa tentera Amerika Syarikat akan keluar dari negara tersebut selepas 18 bulan.

Kekecewaan ini ditambahkan lagi kerana Presiden kulit hitam pertama Amerika Syarikat tersebut baru sahaja memenangi anugerah Anugerah Keamanan Nobel (Nobel Peace Prize) bagi tahun 2009 pada bulan Oktober lalu.

Apabila beliau diumumkan sebagai pemenang anugerah berprestij itu, ramai pihak mengkritik. Kata mereka Obama masih lagi belum berbuat sesuatu yang melayakkannya untuk memenangi anugerah tersebut.

Seperti yang dikatakan oleh John Miller dari National Review, “Obama bukanlah presiden Amerika Syarikat yang pertama memenangi Anugerah Keamanan Nobel, akan tetapi beliau adalah yang pertama memenanginya tanpa berbuat apa-apa”.

Sewaktu Obama berkempen sebagai calon Presiden Amerika Syarikat, retoriknya menggambarkan seolah-olah masalah dunia akan selesai sebaik sahaja beliau mengambil alih jawatan Presiden Amerika Syarikat dari George W. Bush.

Sebab itu ramai yang menyokongnya untuk menjadi Presiden Amerika Syarikat termasuk mereka-mereka yang tidak mempunyai kelayakan untuk mengundinya oleh kerana bukan wargenegara Amerika Syarikat.

Selepas menjadi Presiden Amerika Syarikat, sedikit demi sedikit harapan yang dibawakan oleh Obama tinggal harapan. Terbaru apabila Obama mengumumkan untuk menambah 30,000 lagi tentera di Afghanistan, harapan untuk melihat “perubahan dunia” berkecai.

OBAMA “PEPSI COLA”

Jika dahulu George Bush dipersalahkan seratus peratus tentang apa yang berlaku di Afghanistan dan Iraq, kini selepas Obama mengambil alih kekuasaan, terbukti tiada apa yang berubah kecuali retorik Obama lebih sedap didengar berbanding dengan Bush.

Afghanistan masih terus dijajah. Setelah lapan tahun rakyat Afghanistan menderita, tiada tanda-tanda impian mereka untuk melihat keamanan dalam negara akan tercapai. Osama Laden dan Mullah Omar masih belum dapat ditangkap. Demokrasi dan pembelaan hak wanita hanya tinggal retorik.

Seperti kata Malalai Joya, ahli parlimen termuda yang diundi rakyat dalam pilihanraya parlimen 2005, “demokrasi tidak akan muncul di Afghanistan melalui senjata atau bom dari tentera asing. Perjuangan ini akan mengambil masa yang panjang dan berliku, akan tetapi, nilai demokrasi sebenar, hak asasi manusia dan hak wanita hanya akan ditegakkan oleh orang Afghanistan sendiri”.

Ahli parlimen muda yang telah mendapat banyak anugerah kerana keberaniannya menentang “hulubalang-hulubalang” (warlord) di dalam dan luar parlimen turut mengatakan bahawa demokrasi tidak pernah dibawa oleh tentera asing, yang ada hanyalah rundingan “pintu belakang” diantara tentera asing dan hulubalang-hulubalang ini.

Barangkali inilah yang dikatakan dengan Coca Cola dan Pepsi Cola. Pertukaran kuasa dari parti Republikan ke Parti Demokrat di Amerika Syarikat boleh diibaratkan seperti menukar minuman dari Coca Cola ke Pepsi Cola. Hanya nama dan kulit berbeza, tetapi rasanya tetap sama.

AFGHANISTAN LOKASI STRATEGIK

Afghanistan adalah lokasi strategik yang tidak akan dilepaskan oleh Amerika Syarikat.

Selain daripada mempunyai sempadan dengan Iran dan Pakistan, Afghanistan turut berhampiran dengan China. Selain daripada itu, ianya juga bersempadan dengan negara-negara bekas Kesatuan Soviet seperti Uzbekistan,Turkmenistan dan Tajikistan. Uzbekistan pula bersempadan dengan Kazakhstan yang bersempadan dengan Russia.

Dengan mempunyai pengkalan di Afghanistan, Amerika Syarikat dapat mengawal musuh lamanya Russia dan ancaman terbarunya China sekaligus Iran yang semakin membimbangkan mereka.

Sebab itu Taliban merupakan watak yang penting bagi Amerika Syarikat untuk meneruskan pendudukan mereka di Aghanistan. Jika tiada Taliban, tiada sebab bagi Amerika Syarikat untuk terus bertapak.

Malahan sudah banyak teori (anda boleh mencari dengan menggunakan khidmat Google) yang menyatakan bahawa Amerika Syarikat itu sendiri yang menaja Taliban bagi memastikan pergerakkan tersebut terus hidup dan menjadi “momok” bagi menakutkan dunia dan sekaligus menghalalkan pendudukan mereka di negara tersebut.

Lihatlah selepas 18 bulan nanti, pasti akan keluar alasan dan sebab-sebab yang baru mengapa Obama tidak boleh membawa tentera Amerika Syarikat meninggalkan Afghanistan!

Sehingga kini masih belum terdengar bantahan dari Malaysia sama ada dari mengenai pelan terbaru Barack Obama menghantar 30,000 tentera tambahan di Afghanistan.

Dimanakah Aman Malaysia (Malaysians for Peace)? Apakah organisasi tersebut telah dibubarkan? Atau semuanya terlena kerana mendengarkan retorik dari Obama? Atau pimpinannya terlalu sibuk berpolitik (Pengerusi Aman Malaysia adalah ahli politik)?

Satu ketika dahulu, Malaysia adalah diantara negara yang aktif dalam menyuarakan bantahan mereka terhadap perperangan. Tidak kira dari pihak kerajaan mahupun pembangkang. Badan bukan kerajaan dan mahasiswa tidak ketinggalan dalam menyuarakan bantahan mereka.

Kini suara-suara bantahan terhadap perperangan sudah tidak lagi kedengaran. Apakah ini salah satu “sindrom” selepas Tsunama 8 Mac 2008 dimana rakyat Malaysia terlalu sibuk berpolitik dalam negara sehingga terlupakan tanggungjawab sosial terhadap negara-negara jiran?
SISTEM DUA PARTI

Pada ketika ini, perbincangan mengenai sistem dua parti sedang hangat diperkatakan. Malahan ada yang mengatakan bahawa BN hanya dapat ditumbangkan apabila PR menjadi sebuah gabungan yang kuat seperti BN.

Ada yang menyokong dan ada yang menentang. Biasalah, adat demokrasi. Ramai juga yang menyokong dan ramai juga yang menentang.

PR juga telah mengambil langkah untuk menjadi sebuah pakatan politik yang formal seperti BN. Dengan harapan untuk mengambil alih kepimpinan negara dari BN pada PRU 13.

Namun, apakah jaminan bahawa PR bukan Pepsi Cola?

Dari segi polisi ekonomi, BN dan PR seakan-akan sama. Kedua-dua BN dan PR menyokong pasaran bebas. Sebab itu apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan dasar untuk liberalisasi ekonomi seperti syarikat- syarikat yang disenaraikan di Bursa Saham Kuala Lumpur (BSKL) tidak lagi perlu memperuntukan 30 peratus saham kepada Bumiputera tidak ada tentangan daripada PR.

Memang benar PR tidak bersetuju dengan polisi yang menjaga hanya kepentingan Bumiputera, tetapi bukankah PR mahu membela semua rakyat tertindas? Jadi mengapa PR tidak menentang tindakan Najib dan mencadangkan agar syarat 30 peratus saham bagi syarikat yang disenaraikan di BSKL itu tidak harus dimiliki oleh Bumiputera akan tetapi 30 peratus saham itu harus dimiliki oleh rakyat Malaysia?

Jawapannya ialah PR menyokong apa yang dilakukan oleh Najib oleh kerana itulah polisi ekonomi PR. Tiada beza diantara polisi ekonomi BN dan PR. Kedua-duanya bertujuan untuk menjaga kepentingan kaum pemodal untuk membuat keuntungan.

Yang hanya menentang tindakan Najib ialah mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad. Menurut Dr Mahathir, “Najib harus berwaspada terhadap pelabur asing yang mahukan kawalan sepenuh ke atas syarikat-syarikat pengurusan dana kerana “mereka tidak ada sebarang nilai kesetiaan kepada negara.”

“Mereka berada di negara ini untuk membuat untung. Apabila mereka tidak dapat berbuat demikian, mereka meninggalkan negara ini dan kita menanggung kesannya,” kata Dr Mahathir.

Apakah rakyat Malaysia juga hanya mempunyai pilihan diantara Coca Cola dan Pepsi Cola dalam setiap pilihanraya bermula PRU 13?

Tags:

Afiat

2 comments
Leave a comment »

  1. oOOoO malaysianinsider tu coca cola ke pepsi BN? najib ke suami najibb? paklah ke kj ??

  2. Ha ha ha

    Satu ketika dulu Amarika tak bersetuju dengan WTO tentang Kapas kerana Industri Kapas Amerika belum boleh bertahan..dan kita sekarang ini cuba membuka para syarikat kita untuk di beli oleh pelabur asing….sedangkan Aset Pelabuhan USA pun tak boleh milik oleh anasir luar inikan pula syarikat strategi Amerika..dan kita sebaliknya berlumba-lumba membuka pintu untuk mereka…

    Mungkin kita tak mampu berfikir atau tak pandai memikir…..”Maka rugilah bagi mereka yang tidak berfikir, Moga kita bukan golongan orang yang Zalim”….Wasalammmm

Leave Comment

Petikan dari para artikel "Beriklan Di PerakExpress.com": Kami tidak menyaring komentar-komentar sdr, kecuali komentar yang kuat berbau lucah dan berbau perkauman, terlampau mengeluarkan kata kesat, komentar yang berulang, komentar yang terlampau panjang dan komentar yang mengiklankan sesuatu produk.

Nombor ip yang sama nickname berlainan akan berada dalam consideration list, jika kami mengesyaki sesuatu kepada no IP tersebut, kami akan delete.

Kadang-kadang kami juga terlepas pandang akan sesuatu komentar yang tak patut tersiar. Kami berasa agak kurang adil berbuat demikian, tetapi kami tidak sengaja, jadi kami pohon maaf.