BTN, doktrin perkauman, dan telur ayam 4/5

Dec 8th, 2009 | By Admin | Category: Arif Abdull, Rencana, utama

btn-jpm

Oleh Arifabdull

Paling teruk adalah pengalaman yang telah menimpa seorang dari kalangan peserta kursus kami itu apabila beliau berubah sikap setelah balik dari program itu. Beliau yang selama ini terkenal sebagai seorang yang pendiam telah bertukar menjadi seorang yang bengis dan pemarah, terutamanya apabila melihat para pelajar dari etnik lain.

Keadaan emosinya juga terganggu dan tertekan kesan mendalam doktrin yang dipaksakan secara ‘basuh otak’ (brainwash) ke dalam pemikirannya sepanjang kursus itu.

Kami terpaksa mengambil inisiatif sendiri untuk cuba memulihkan beliau dengan bantuan rakan-rakan dari kelab Kaunseling Rakan Sebaya. Proses membuang sikap bencinya terhadap pelajar kaum lain itu terpaksa kami lakukan secara senyap-senyap dari pengetahuan pihak sekolah, dan hanya berjaya setelah hampir seminggu beliau terpaksa melalui proses kaunseling secara intensif.

Seingat penulis, penceramah utama pada hari pertama kursus telah banyak menekankan cerita sejarah dengan cuba menonjolkan UMNO sebagai pejuang yang bermati-matian mendesak British memberi kemerdekaan. Beliau turut menyentuh tentang isu Tragedi 13 Mei yang kononnya disebabkan oleh tindakan kaum lain yang mahu merampas Malaysia dari orang Melayu.

Secara keseluruhannya, semua ceramah dan aktiviti memang sengaja direka dan dijalankan menjurus kepada usaha memarakkan api kemarahan peserta terhadap kaum lain yang kononnya mahu merampas negara ini. Bukan saja ceramah dan aktiviti-aktiviti yang digunakan sepenuhnya sebagai alat mendoktrin, malahan para facilitator turut memainkan peranan dengan menggunakan psycho ketika kami sedang makan tengahari, sebelum masuk tidur dan ketika bangun tidur.

Kami juga disuruh berbaris ala tentera di tengah panas terik matahari. Penulis percaya taktik mendera kami di tengah panas matahari tengahari ini sengaja dilakukan sebagai usaha melemahkan sebahagian di kalangan kami yang masih mampu bertahan untuk terus berdegil dan engkar arahan para samseng itu. Kejadian ini berlaku pada hari kedua, sebelum makan tengahari. Setelah makan tengahari pada hari itu, sekali lagi kami diarahkan berkawad di tengah panas sehingga ada di kalangan kami yang hampir jatuh pitam. Tidak seorangpun yang dibenarkan untuk keluar dari barisan, dan sesiapa yang melanggar arahan tersebut akan dikenakan denda berat.

Memanglah taktik menjemur itu telah berjaya mematahkan ketabahan beberapa puluh rakan seperjuangan kami yang menyerah kalah dengan tekanan apabila berhenti dari berkawad untuk mencari tempat teduh atau mencari air untuk diminum. Akibatnya, mereka terpaksa melakukan ‘latih-tubi’ sebagai dendaan. Selain daripada itu, seluruh kumpulan yang anggota kawadnya melanggar perintah turut didenda dengan berlari beberapa pusingan di sekeliling padang yang luas.

Pada sessi malam hari kedua itu, kami dibawa ke dewan utama tempat majlis suaikenal dan ceramah diadakan. Kami seolah-olahnya terpaksa melakukan majlis suaikenal sekali lagi pada hari kedua apabila semua para penceramah dan facilitator turut berada di dewan utama seperti semalam. Namun, tanpa kami sedari sessi pada malam kedua ini merupakan usaha terancang mereka untuk berusaha mematahkan kedegilan 15 orang baki yang degil di kalangan kami.

Mereka memang pakar dan mahaguru dalam menggunakan taktik pecah dan perintah. Tanpa disedari mereka telah berjaya memanipulasi emosi para peserta yang telah mengalah pada petang tadi sebagai mangsa kebodohan kami yang masih berdegil. Manakala dendaaan berlari mengelilingi padang luas yang dikenakan kepada semua anggota kumpulan kawad terlibat juga telah mereka jadikan alasan untuk memecah-belahkan kami sehingga kami mulai saling salah-menyalahi di antara satu sama lain.

15 orang yang masih bertahan, termasuk penulis menjadi sasaran kritikan dan kutukan sepanjang program malam kedua itu. Para peserta lain telah berjaya mereka pengaruhi untuk menganggap kami sebagai musuh, pengkhianat, orang jahat yang engkar arahan dan sebagainya. Sebagai golongan minoriti di dalam dewan itu, memang kami tidak mampu melakukan apa-apa tindakan atau hujah bagi mempertahankan diri. Nasib baik kami tetap saja mampu bertahan walau dalam keadaan diasak sebegitu.

bersambung …

BTN, doktrin perkauman, dan telur ayam 1/5

BTN, doktrin perkauman, dan telur ayam 2/5

BTN, doktrin perkauman, dan telur ayam 3/5

Tags:

Afiat

2 comments
Leave a comment »

  1. Saya pernah mengikuti kursus BTN di Perak.Kebanyakan kami para guru.Kami diminta membenci kaum lain.Antaranya menyanyi lagu anak kecil api.

    Kemudian memburukkan pimpinan PAS .Tidak dibenarkan membaca akhbar,mendengar radio dan menonton televisyen.

    Kami ditazkirah dan di Qiamualail ,semua menjurus kebaikan UMNO.Pada masa itu idea Dr Mahathir dikemukakan.

    Pegang telur ayam,bawa surat,itu tak penting,tapi mereka berjaya mencampurkan kita dengan perempuan.Pulak tu ,masuk hutan daki gunung.

    Satu malam dibawa proksi untuk jadi histeria,peserta wanita menjerit dan menangis kerana kita hilang Tanah Melayu hasil usaha penjajah.Orang bukan Melayu rampas hak kita.

    Tapi syukur Alhamdulillah,saya tetap PAS ,kini bersama DS Nizar membela rakyat Bukit Gantang.

  2. Kita sebagai individu yang dewasa dan ‘merdeka’ tidak mudah didoktrinkan mentaliti, mengikut acuan politik atau kemahuan pihak lain. Sayapun kakitangan awam, biasa hadiri kursus BTN.

    Para ulamak dan ustaz2 kita adalah ‘pemimpin’ yang terbaik untuk kita dengar dan ikuti, setelah Nabi s.aw tiada. Fahaman sekular, nasionalisma bukan semuanya tidak baik langsung, tetapi mungkin sebagaian besarnya sesat atau menyesatkan. Kita semua tahu, tiada disebut di dalam Quran orang Arab, Melayu, Israel atau mana-mana ethnik yang ‘istimewa’, melainkan jika mereka (atau sesiapa saja) yang beriman, bertakwa dan beramal soleh. Jelas kepada kita Melayu atau Jawa bukanlah istimewa mana.

    Tiada salah mencintai negara kita, bahkan baik. Tetapi mencintai negara mungkin tidak sama dengan mencintai parti pemerintah yang banyak melakukan kerosakan, penyelewengan dan kezaliman. Samalah juga Islam mengajarkan supaya kita tunduk patuh kepada kedua ibu-bapa (selema mana mereka tidak menyuruh kita menderhaka kepada Tuhan, atau melakukan sesuatu yang bertentangan syarak)

Leave Comment

Petikan dari para artikel "Beriklan Di PerakExpress.com": Kami tidak menyaring komentar-komentar sdr, kecuali komentar yang kuat berbau lucah dan berbau perkauman, terlampau mengeluarkan kata kesat, komentar yang berulang, komentar yang terlampau panjang dan komentar yang mengiklankan sesuatu produk.

Nombor ip yang sama nickname berlainan akan berada dalam consideration list, jika kami mengesyaki sesuatu kepada no IP tersebut, kami akan delete.

Kadang-kadang kami juga terlepas pandang akan sesuatu komentar yang tak patut tersiar. Kami berasa agak kurang adil berbuat demikian, tetapi kami tidak sengaja, jadi kami pohon maaf.