Reformasi Tanpa Anwar 15

Nov 23rd, 2009 | By Admin | Category: Amin Ahmad, Rencana

Oleh: Amin Ahmad

Sebelum Pilihan Raya ke-12 (PRU-12), tidak nampak tanda-tanda adanya satu kebangkitan besar-besaran jika dibandingkan dengan serangan berterusan terhadap kepimpinan DS Abdullah Ahmad Badawi (kini Tun) daripada pelbagai penjuru termasuk dalam UMNO-BN itu sendiri.

Desas-desus bertiup kencang sebelumnya tentang perkahwinan beliau dan juga pembubaran Parlimen dan DUN bagi membolehkan PRU-12 dijalankan, tetapi beliau menafikan sebelum ia menjadi kenyataan kemudiannya. Tanpa sedar, beliau telah memberi pengukuhan kepada persepsi masyarakat terhadap kelemahannya. Cuma untuk saya, menafikan PRU-12 itu mungkin ada kewajaran di pihak beliau, mengambil kira strategi politik.

Rakyat sepatutnya mempersoalkan kuasa berlebihan oleh seorang Perdana Menteri memutuskan bila tarikh PRU-12 patut dijalankan. Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) patut menjadi badan bebas dan bertanggungjawab kepada Parlimen untuk memutuskan tarikh PRU. Sudah tentu, untuk saya, pelbagai cadangan lain juga boleh dikumpul untuk memastikan mekanisme-nya telus dan adil.

Suka atau tidak, saya mempunyai kepercayaan bahawa agihan persempadanan kawasan, undi pos dan juga tarikh pilihan raya yang punya kaitan langsung dengan SPR boleh saja menjadi alat untuk mempertahankan hegemoni ‘ketuanan Melayu’, malah ia kemudiannya dilapik dengan nama Islam sebagai pengukuhan terhadap sentimen rakyat Malaysia khususnya kaum Melayu dan penganut agama Islam agar tidak banyak mempersoalkannya. Dalam kata lain yang barangkali lebih kesar, mereka mahu mengatakan biarkan tidak adil asal Islam selamat – meskipun apa itu adil dan selamat itu boleh dimanipulasi.

Ia akan berbalik kepada persoalan falsafah – sesuatu itu adil maka ia Islam atau sesuatu itu Islami maka ia adil.

Satu perkara yang tidak boleh dinafikan ialah PRU-12 berlangsung hanya dengan maksud menafikan peluang untuk DS Anwar bertanding. Namun, mereka gagal membaca bahawa itu juga beerti DS Anwar berpeluang melapangkan banyak masa untuk menjelajah seluruh negara bagi menyebarkan mesej keperluan reformasi.

Dan di sana kita dapat merasai denyut kempen dan sokongan itu bergerak pantas. Sudah tentu saya mahu mengatakan ia bukan saja faktor DS Anwar, tetapi jahillah jika ada yang mahu mengatakan tidak ada faktor DS Anwar secara signifikan telah menyumbang kepada keputusan PRU-12. Saya telah menggariskan sejumlah faktor ini dalam siri ke-14 di mana setiap elemen mempunyai sumbangan tersendiri tetapi adalah wajar untuk saya mengingatkan semula peribahasa Inggeris “kita boleh membawa kuda ke air, tetapi kita tidak boleh memaksa kuda itu minum”.

Dan Allah s.w.t. telah menyampaikan “tidak akan berubah nasib sesuatu kaum jika mereka sendiri tidak mahu mengubahnya”.

Dalam satu dialog saya dengan seorang mantan aktivis mahasiswa Indonesia semasa reformasi di sana, ada katanya yang terus melekat dalam minda saya iaitu “pemimpin adalah simbol pemikiran masyarakat”. Jika seorang pemimpin itu boleh wewenang rasuah dan salah guna kuasa, justeru ia menggambarkan rakyat sebagai pengecut dan rela ditadbir sebagai hamba. Pemikiran rakyat tentang “The Ideal State” atau “Negara Hasrat” itu tidak ada.

Arwah Rustam Sani pernah menyebut tentang “Negara Hasrat” dan Universiti Bangsar Utama (UBU) – tempat perkumpulan anak-anak muda di Bangsar Utama – dulu pernah menganjurkan siri dialog tentang “Negara Hasrat” ini.

Tanya saja kepada rakyat, jenis pemimpin yang bagaimana mereka mahu memimpin mereka. Tidak lain dan tidak bukan, mereka mahukan pemimpin yang adil, amanah, boleh menjaga kebajikan mereka dan sejumlah lagi nilai-nilai baik yang mampu difikirkan manusia. Dari sanalah titik tolak sistem bergerak. Persoalan adil itu harus dikupas untuk terjemahan bentuk praktis. Begitu juga soal-soal lain. Menjaga kebajikan juga harus direnung semula agar ia tidak menjadi mantara khidmat air liur (lips service) sewaktu ahli politik menagih sokongan.

Inilah falsafah, dan memang ramai yang tidak berminat dengannya. Ia mengingatkan saya tentang sebuah kenyataan di zaman Greek dulu bahawa “falsafah tidak dapat menghasilkan roti”. Hakikatnya, roti muncul kerana adanya teori “manusia boleh mati jika tidak makan”.

Ada satu kenyataan menarik oleh DAP Pahang sebelum PRU-12. Ia bersangkutan dengan hakikat hubungan PAS-DAP yang tidak pulih sebelum PRU-12. Hanya saja peranan PKR dengan kerjasama kedua parti ini memungkinkan ada pertandingan 1 lawan 1 hampir di semua kerusi yang dipertandingkan. DAP Pahang membuat kenyataan berbunyi lebih kurang “BA memang tidak wujud di peringkat Pusat, tetapi di Pahang DAP dan PAS tetap bekerjasama”.

Kenyataan DAP Pahang ini untuk saya adalah sebuah kenyataan berbudaya tinggi. Ia bersangkut dengan amalan federalisme yang harus mengambil tempat dalam idea-idea reformasi. Ia memang sukar jika kita mengambil kira hakikat paradigma rakyat terus ditanam dengan semangat kaum dan agama yang boleh saja tersimpang maknanya.

Kita masih boleh lihat bagaimana amalan federalisme ini boleh tergugat bila kuasa perlantikan di peringkat negeri – meskipun dalam konteks parti – diputuskan oleh Pusat. Malah, kita jangan lupa bila YB Lim Guan Eng membuat kenyataan tentang “menunggu Anwar menentukan siapa Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang”.

Saya boleh memahami bahawa amalan ini bisa saja rosak misalnya ada rundingan di peringkat negeri dibina atas maksud yang tidak adil dan disadurkan tema-tema misalnya Melayu dan Islam untuk menghalalkannya, sebagaimana kecoh di Selangor. Namun, kita mesti bertegas bahawa jalan menuju amalan federalisme yang sihat wajar direntis dan diusahakan.

Tags:

Afiat

Leave Comment

Petikan dari para artikel "Beriklan Di PerakExpress.com": Kami tidak menyaring komentar-komentar sdr, kecuali komentar yang kuat berbau lucah dan berbau perkauman, terlampau mengeluarkan kata kesat, komentar yang berulang, komentar yang terlampau panjang dan komentar yang mengiklankan sesuatu produk.

Nombor ip yang sama nickname berlainan akan berada dalam consideration list, jika kami mengesyaki sesuatu kepada no IP tersebut, kami akan delete.

Kadang-kadang kami juga terlepas pandang akan sesuatu komentar yang tak patut tersiar. Kami berasa agak kurang adil berbuat demikian, tetapi kami tidak sengaja, jadi kami pohon maaf.