Personaliti Dalam Politik
Nov 12th, 2009 | By Admin | Category: Akhbar OnLine, RencanaKhalid Jaafar/Jalan Telawi
Institusi dilahirkan oleh idea. Idea dicetuskan oleh tokoh. Dan tokoh pula dibentuk idea, tradisi, perdebatan dan wacana. Tetapi betapa perkasa tradisi sekalipun, tokoh bukanlah sehelai kain putih – tabula rasa – yang akan diwarnai oleh warna-warni persekitaranannya. Tokoh tidak pasif, kalau tidak dia bukan tokoh. Dia memiliki akal aktif, akal yang membuat pilihan diantara yang ada. Bukan sahaja memilih tetapi juga mengkhayalkan sesuatu yang belum ada dan seterusnya mengadakan sesuatu yang masih tiada.
Ambil ruang digital. Sebelum ini tidak wujud, kemudian ia dikhayalkan dan dicipta oleh akal manusia. Ruang konvensional mempunyai tiga dimensi. Lebar, panjang dan tinggi (atau dalam). Tetapi ruang digital tidak menggunakan ukuran tersebut tetapi ia berkemampuan menyimpan lebih banyak dokumen dari ruang konvensional. Internet Archive kini telah menjadi perpustakaan terbesar di dunia, mengatasi Library of Congress. Sekarang perpustakaan internet itu mempunyai 3 petabytes dokumen (1 petabyte= sejuta gigabytes)) dan bertambah 100 terrabytes setiap bulan. Tetapi Google memproses 20 petabytes data setiap hari. Library of Congress menyimpan 130 juta benda, yang mana 29 juta adalah buku. Rak simpanan jika diatur panjangnya akan sampai 530 batu (850 km).
Perkara yang menakjubkan ini tidak boleh berlaku tanpa akal individu, kerana akal indvidu yang mencipta ilmu yang memungkinkan terciptanya teknologi yang membikin ruang digital. Kita sering menyebut teknologi, revolusi demi revolusinya yang mencipta pelbagai ketakjuban, tetapi selalu melupakan akal kreatif manusia yang mengkhayalkan segala itu.



Klik Imej Untuk Senarai Penuh













