Membujur Lalu Melintang Patah
Nov 10th, 2009 | By Admin | Category: Hasmi Hashim, RencanaOLEH Hasmi Hashim
Pertama, ubah cara bacaan dan penilaian kita terhadap beberapa isu. Dengan lanskap dan udara politik selepas 8 Mac, adalah tidak adil untuk tafsiran lama digunakan, khususnya dalam menilai prestasi kerajaan negeri Pakatan Rakyat.
Tak ada lagi retorik politik usang, termasuk “kestabilan”. Dahulu, rakyat sering dimomok-momokkan, kononnya untuk mencapai kesejahteraan hidup, perlu kestabilan ekonomi, dan untuk mencapai kestabilan ekonomi, perlunya kestabilan politik. Ternyata, selepas rakyat seolah-olah menyerahkan jiwa raga untuk itu, yang terjadi di peringkat elit kepimpinan, kekayaan negara dibaham. Pemimpin dalam diam-diam mengumpul kekayaan luar biasa.
Sedangkan, apabila berlaku krisis dan kemuraman ekonomi, bukan pak-pak menteri, bukan juga wakil rakyat mahupun perdana menteri yang terlebih dahulu menanggung azab. Mereka, juga anak-anak dan keluarga mereka, orang-orang kanan peliharaan mereka, hidup seperti biasa… seperti tak ada hujan-panas, seperti tak ada ribut-petir!
Pimpinan langsung tak mahu menunjukkan sikap rendah diri sebagai kekuatan moral kepimpinan. Kalau rakyat makan sesuap, mereka makan seratus suap. Bukan sebaliknya…
Ingatan sebegini bukan hanya kepada pemimpin Umno-BN. Di dalam ucaptama Konvensyen Keadilan Negeri Sembilan (ralat, baca: Konvensyen Keadilan Pulau Pinang), 8 November lalu, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi peringatan tegas kepada pemimpin Keadilan. Jawatan, termasuk status “YB” bukannya umpama “CEO syarikat”. Pemimpin dipilih rakyat, andai cuai, tak kira siapa, akan dihumban rakyat!
Demi itu, sesiapapun yang mendukung idea perubahan, harus sedar dengan makna “islah” dan perubahan itu sendiri. Kemudian, yakin: membujur lalu melintang patah.
Sejak tercetusnya gelombang Reformasi 1998, antara yang kuat kita tuntut ialah sikap amanah pimpinan; selain ruang “check and balance” yang lebih wajar dan munasabah. Ruang itulah apa yang kita sebut sebagai “proses demokrasi”.
Selepas sedekad lebih, juga selepas 8 Mac, ruang itu mulai wujud. Kesempatan demokrasi yang tak pernah wujud sebelum ini, zahir kembali. Rakyat, barangkali dengan tak sedar, telah menguak ruang untuk kuasa politik rejim Umno-BN sedikit ‘disekat’–saya tak dapat bayangkan bagaimana rakusnya pemimpin Umno-BN di bawah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak kalau mereka masih memperolehi “kestabilan” (maknanya, “keselesaan berbuat apa sahaja”) sepertimana di era Dr Mahathir Mohammad dahulu…
Media perdana, tentulah masih mengukur suasana politik baru ini dengan tafsiran lapuk. Begitu juga pemimpin Umno-BN, yang sudah kematu akal, yang payah sekali atau mustahil untuk menyesuaikan perspektif mereka dengan horizon politik baru.
Bagi mereka, kerancakkan politik sekarang dengan adanya suara kritikan lebih terbuka (termasuk di negeri-negeri Pakatan Rakyat) sebagai sesuatu yang ‘tak sehat’. Bagi mereka, ‘kebisingan’ hanya perlu sewaktu hari-hari menjelang pilihanraya. Selepas itu, sesiapa pun, termasuk rakyat umumnya harus diam menerima sahaja.
Memang, tak semua kritikan bisa diterima. Ada juga yang lemah. Apa yang penting, apa yang sesungguhnya perlu dipertahankan adalah ruang melontarkan pandangan dan kesempatan terlibat dalam setiap keputusan penting politik; yang mana akhirnya ia memberi impak kepada umum. Itu yang penting. Itu budaya politik baru, yang, sekali lagi tak pernah dimengertikan oleh Umno-BN.
Belum pernah, misalnya rakyat diberi kesempatan untuk mengemuka pandangan di dalam keputusan-keputusan utama, termasuk belanjawan. Belum pernah di sepanjang pentadbiran pemerintah Umno-BN, program diskusi diadakan secara terbuka, misalnya bagi membicara dan membincangkan soal belanjawan negara.
Ia berlaku sekarang. Proses demokrasi ini, berlaku di negeri-negeri Pakatan Rakyat. Proses demokrasi ini, tak pernah dan hampir mustahil berlaku, di negeri-negeri yang masih dikuasai Umno. Lihat sahaja bagaimana Najib menyisihkan terus pandangan rakyat di dalam penyediaan Bajet 2010 yang lalu. Tak terdengar diskusi belanjawan di Melaka, di Johor, Negeri Sembilan, Pahang, Terengganu, Perlis, Sabah, Sarawak–seolah-olah di negeri-negeri itu, tak berpenghuni!
Di bawah dasar lebih terbuka dan berlapang dada pemerintahan Pakatan Rakyat, tentunya ada yang sedikit sebanyak keterlaluan beberapa pehak di dalam menyatakan pandangan dan bertindak. Namun, kematangan politik tak akan tercapai dengan menyekat pandangan. Dasar sebegini juga terdedah kepada suasana yang kononnya memperlihatkan kerajaan Pakatan Rakyat lemah.
Sesungguhnya, adalah lebih baik kita berlaku terlus, meski sedikit terlihat ‘lemah’ daripada menutup bilik perbincangan sehingga rakyat tak tahu apa yang sebenarnya terjadi. Tiba-tiba ratusan juta, malah berbilion ringgit hilang!
Mana yang kita pilih, sekarang? Apakah tidak disyukuri nikmat, termasuk pada bila-bila masa boleh berhimpun dan mengeluarkan pandangan meski dilihat ia sebagai suasana yang ‘tak stabil’? Atau, boleh sahaja semua pandangan ini dibungkam, hanya untuk bersikap munafik sepertimana negeri-negeri yang dikuasai Umno-BN, dan semua masalah disapu di bawah tikar?
Bayangkan kalau stadium yang runtuh itu di bawah negeri yang dikuasai Pakatan Rakyat, habis heboh dan dipersalahkan sehingga disingkap kain pemimpin. Tetapi, karena ia terjadi di negeri Umno, maka diam terus didiamkan! Seekor kuman pun kalau lalu di hadapan pejabat MB Selangor, akan jadi riuh, sedangkan bapak segala penyakit di Pejabat Perdana Menteri langsung tak terpandang.
Sementara ada ruang demokrasi ini, adalah wajar digunakan dengan bijaksana. Sementara itu jugalah Umno-BN sedang bekerja dan pada bila-bila masa mereka mahu merampas kembali kebebasan yang ada. Penjara besar mereka siapkan; yang bernama “1Malaysia”!



Klik Imej Untuk Senarai Penuh













