Dari rakyat untuk rakyat
Nov 9th, 2009 | By Admin | Category: Rencana, blackOleh Black
NOV 9 — Malaysia kini berada didalam proses untuk mencapai kematangan politik dimana pertentangan diantara dua kuasa politik iaitu Barisan Nasional (BN) yang dicabar oleh Pakatan Rakyat (PR).
Pertentangan diantara BN dan PR ini dalam jangkamasa yang panjang akan memberikan pendidikan politik yang baik kepada rakyat Malaysia dimana rakyat akan melalui dan merasai buruk dan baik proses demokrasi itu sendiri.
Selepas BN ditubuhkan oleh Tun Razak sehinggalah zaman pemerintahan Tun Dr Mahathir Mohamad, BN merupakan satu kuasa yang kuat dan tidak mempunyai pencabar-pencabar yang mampu untuk menyainginya.
Ini telah menyebabkan negara berada dalam keadaan yang “tepu” dimana rakyat Malaysia secara umumnya hanya menerima maklumat, hiburan dan apa sahaja dari satu pihak iaitu dari “regim BN”.
“Pendemokrasian maklumat” melalui internet sedikit sebanyak telah mengubah Malaysia. Jika dahulu maklumat hanya diperolehi dari akhbar, TV dan radio yang dimiliki oleh negara atau dekat dengan kekuasaan, internet, pandangan-pandangan dari pihak yang “bertentang” dengan kekuasaan sudah dapat dibaca dengan dikaji dan ini telah merancakkan lagi pemikiran rakyat Malaysia.
Di negara-negara jiran, seniman memainkan peranan dan terlibat dalam gerakan sosial. Indonesia mempunyai Iwan Fals. Korea Selatan mempunyai Kim Gwang Seok manakala Freddie Aguilar pula di Filipina.
Tsunami politik yang berlaku pada 8 Mac 2008 turut memberikan kesan kepada golongan seniman di Malaysia.
Diantara yang “terkesan” daripada perubahan politik yang berlaku di tanah air ialah Meor Yusof Aziddin, atau lebih mesra dengan panggilan “Meor” seorang pemuzik genre folk, “singer songwriter” yang tidak asing lagi dikalangan peminat-peminat muzik “indie” tanah air.
Tsunami politik 8 Mac telah menyebabkan Meor melahirkan album “Dari Rakyat Untuk Rakyat (DRUR)” yang dilancarkan pada 17 Oktober 2009 oleh “Sasterawan Rakyat”, Datuk A. Samad Said di Kuala Lumpur.
Album DRUR berbeza dari album-album yang pernah dilahirkan oleh Meor sebelum ini kerana album ini memuatkan “seratus peratus” lagu-lagu mengenai kritik sosial, kemanusiaan dan perjuangan rakyat.
Meor yang juga seorang “busker” yang sering “busking” di Central Market (CM) atau Pasar Budaya telah mempunyai enam album seperti “Sakrat” (2008), “Yang Terlintas Di Fikiran” (2006), “Aku dan Bulan” (2004), “Itu Padang…Aku Disitu” (2003), “Pesta Jiwa II” (2002) dan “Pesta Jiwa” (2000).
Sebelum mengeluarkan album DRUR, bapa kepada empat orang anak ini sempat mengeluarkan sebuah “EP” yang memuatkan tiga buah lagu yang dilagukan dari koleksi puisi Datuk A. Samad Said.
Album DRUR turut meilibatkan banyak pihak dari segi penulisan liriknya. Contohnya seperti peguam hak asasi manusia: Amer Hamzah Arshad, penyajak terkenal: Pyanhabib, aktivis masyarakat/kolumnis: Hishamuddin Rais, pelukis/blogger: Abdullah Jones, aktivis alam sekitar: Ubi Lepih, penyajak/pelukis/pengarah dokumentari: Rahmat Haron dan ramai lagi.
Meor mencipta kesemua lagu yang terdapat dalam DRUR dan turut menyumbangkan satu lirik dalam sebuah lagu mengenai perpaduan diantara kaum yang bertajuk “Sampai Bila”.
Pelbagai topik yang berkaitan dengan sejarah dan semasa yang relevan dalam kehidupan hari ini dikupas dalam 10 lagu dari album DRUR. Diantara lagu-lagu yang terdapat dalam album ini ialah:
“I.S.A” (Ikut Suka Aku) lirik yang disumbangkan oleh Amer Hamzah Arshad menceritakan tentang bagaimana Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dijadikan “senjata politik” oleh pihak-pihak tertentu untuk terus mempertahankan kuasa dan menyebabkan ramai yang tidak berdosa menjadi mangsa.
“Bapakku Seorang YB” sajak “cult” yang ditulis oleh Pyanhabib semenjak tahun 80an menceritakan mengenai “hipokrasi” sesetengah ahli-ahli politik tanah air dalam menjalani kehidupan seharian.
“Rakyat Bersatu” ditulis oleh bekas pengkritik filem akhbar Berita Harian Hishamuddin Rais mengenai kekuatan rakyat jika bersatu dalam memperjuangkan sesuatu perkara.
“Membenarkan Kebodohan” pula adalah sebuah lagu dari lirik yang ditulis oleh Abdullah Jones mengenai kritiknya terhadap masyarakat yang seringkali membiarkan “kebodohan” berada disisi mereka.
“Raungan Anak Belantara” dari Ubi Lepih menceritakan mengenai bagaimana hutan belantara diceroboh oleh “cukong-cukong” yang mengaut keuntungan dan menyebabkan hutan yang menjadi sumber “periuk nasi” masyarakat musnah.
“Awas Api Perempuan Ini (a.A.P.I)” adalah lirik yang disumbangkan oleh Rahmat Haron mengenai kekecewaannya selepas menghadiri pengebumian tokoh Nasionalis negara, Samsiah Fakeh yang dirasakan tidak diberi penghargaan oleh ramai pihak termasuk rakan seperjuangannya berbanding sumbangan yang telah diberikan oleh tokoh tersebut. Lagu ini dinyanyikan oleh penyanyi undangan, Mei Chern yang dikenali dengan suaranya yang lembut dan merdu.
Selain daripada itu lagu “Shuhada Memali” dari album ini telah digunakan oleh Rahmat Haron sebagai lagu tema dalam dokumentarinya “Al-Fatehah Memali’ yang telah ditayangkan di Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Johor sempena Freedom Film Festival 2009.
DRUR dari Meor sudah pasti berbeza dari muzik-muzik arus perdana yang kebiasaannya bertemakan cinta.
DRUR mengingatkan kembali bagaimana pemuzik terlibat dalam membantu menyemarakkan sesebuah gerakan sosial sepertimana Bob Dylan dan Joan Baez yang terlibat secara langsung di dalam pergerakan sivil di Amerika Syarikat dan bersama-sama menyanyikan lagu “When the Ships Comes In” dalam demonstrasi raksasa yang digelar “March on Washington” pada 28 Ogos 1963.
Menurut Meor, diantara sebab album DRUR dilahirkan, ialah untuk “merayakan kawan-kawan” merujuk kepada penulis-penulis lirik yang menyumbang didalam album ini dimana Meor sangat menghargai perjuangan mereka didalam bidang-bidang masing-masing.
Selain daripada itu, Meor mahu memberikan hiburan alternatif kepada masyarakat Malaysia dan secara tidak langsung memberikan pendidikan mengenai permasalahan sosial dan isu semasa yang berlaku dalam negara.
Meor menubuhkan syarikat yang dinamakan CRG Communication untuk memasarkan album terbarunya itu. Selain daripada itu, CRG Communication turut memulakan kelas gitar dimana Meor sendiri adalah salah seorang gurunya.
Album DRUR mempunyai kehebatannya yang tersendiri dan berpotensi jika dipromosikan dengan lebih giat lagi. Perjalanan Meor sebagai pemuzik jalanan (busker) berliku-liku dan pernah tinggal beberapa hari didalam “penjara Pudu” kerana disangka terlibat dengan dadah.
Cabaran dan dugaan tidak sedikitpun melunturkan semangat Meor. Album DRUR yang dirakam di ISEEKMUSIC, studio milik Mokhtarizal bekas pemain dram kumpulan “Seven Colar T-Shirt” dikatakan album yang mempunyai kualiti yang terbaik yang pernah dilahirkan oleh Meor.
Bagi yang ingin mendapatkan album DRUR, sila hubungi Meor di +6012-590-1798 atau email ke meor67 [@] yahoo [DZOT] com. Untuk maklumat lebih lanjut mengenai Meor, sila layari www.pestajiwa.net.
*Artikel ini juga boleh didapati di http://themalaysian insider.com



Klik Imej Untuk Senarai Penuh














