Ekstrem 1/2
Oct 23rd, 2009 | By Admin | Category: Non Politics, Sam AhmadOleh Sam Ahmad
Cerpen
Sudah lama dia tidak berkerja. Selepas mendapat tahu bahawa syarikatnya ada kaitan perniagaan dengan sebuah syarikat dari Amerika, lantas dia berhenti.
Dua bulan dia menghabiskan masa di rumah. Masanya yang begitu banyak terluang, diisi dengan membaca buku. Antara buku yang dibacanya, Runtuhnya Khilafah dan Upaya Menegakkannya, karangan Abdullah Azam dan sekarang dia sedang menghabiskan satu lagi buku karangan, yang bertajuk Perang Jihad Di Zaman Moden.
Dia amat tertarik dengan idea-idea Abdullah Azam. Baginya, dia sudah temui apa yang dihajati. Dalam dunia yang penuh tunggang langgang, yang betul dikata salah dan yang salah dikata betul, Abdullah Azam telah menjadi wiranya. Dan dia sudah cukup bersedia . . .
Rutinnya setiap hari adalah beribadat. Selepas beribadat wajib, dia pasti akan melakukan zikir memuji Allah dan solat sunat beberapa rakaat. Dia senang dengan hidupnya sekarang.
Padanya, hidup yang ditumpahkan segalanya ke jalan Allah adalah hidup yang paling dikehendaki.
Khusyuk dengan kehidupannya, dia terpaksa melupakan kekasihnya yang dia kenal beberapa tahun sudah. Sekarang setelah pergi jauh dari bandar tersebut, dia benar-benar merasa aman. Tiada lagi gangguan dari kekasihnya. Tidak perlu lagi, baginya untuk memikirkan tentang kekasihnya. Tentang rindu, tentang cinta dan tentang kasih-sayang – kenangan-kenangan indah ketika mereka masih lagi bersama.
Demi cintanya pada tuhan, dia terpaksa juga melawan rindu pada kekasihnya. Dia sanggup tidak memenuhi janji yang pernah mereka kotakan suatu ketika dahulu – janji untuk sehidup semati, di dunia dan di akhirat.
Dia terkenang, pada hari akhir pertemuan mereka. “Tak semestinya dengan bertudung itu kita dapat mengagak keimanan seseorang wanita. Bukankah banyak anak-anak gadis para ulama dunia yang tidak memakai tudung. Ada juga yang isteri mereka pun sesetengahnya tak pakai tudung. Lagipun bukannya saya tak nak pakai. Bukannya saya tentang. Cuma, saya belum bersedia.” Mereka bertengkar.
“Arghh! Itu semua bukan ulama. Mereka tu sama macam orientalis. Tah-tah munafik. Semua tu nak hancurkan Islam. Awak bukan tak tahu, dalam al-Quran sendiri pun ada sebut pasal perkara ini.”
Sejak mendapat kawan baru, yang baru pulang dari UK, dia sudah mula berubah. Walaupun sedikit sebanyak dia sudah mula patuh dengan agama, namun ketaksubannya dengan ajaran-ajaran radikal Islam telah menggangu kekasihnya. Tambah-tambah lagi, ketaksubannya telah mula meretakkan hubungan mereka.
“Awak kena ingat, siapa yang tak ikut hukum tuhan, menghina syariah dengan perbuatan dan percakapan, orang itu boleh gugur Islamnya. Kafirlah dia.” Serta merta air mata kekasihnya bergenang di kelopak mata. Terkejut, dia boleh berkata demikian. Kekasihnya amat terasa dengan kata-katanya, seolah-olah tak mampu membezakan yang halal dan haram.
“Saya tak sangka awak akan cakap macam itu pada saya” kata kekasihnya, sambil nada suara diperlahankan, esak tangis diteruskan. “Maaf, saya tak bermaksud . . .”
Dia sedar, dia terlepas cakap. Dia mendekati kekasihnya. Kemudian memeluk kekasihnya dengan erat dan penuh kasih sayang. Cuba menenangkan. Cuba memujuk. “Saya sebenarnya dalam keadaan serba salah. Saya tahu awak sayangkan saya. Saya juga sayangkan awak. Tapi kita terpaksa hentikan hubungan kita. Saya dah bersedia menyahut seruan Ilahi. Saya nak berjuang dijalanNya. Saya nak berjihad.” Ujarnya lembut, cuba menenangkan hati kekasihnya.
“Tak bolehkah saya terus berada di sisi awak. Saya mahu menjadi teman awak di dunia dan di akhirat. Apa kurangnya saya. Adakah sebab saya tak pakai tudung awak nak tinggalkan saya. Kurang Islamkah saya berbanding awak.. Tak layakkah saya untuk awak.”
“Tidak. Bukan itu yang saya maksudkan. Saya takut kalau-kalau jihad ini perlu pengorbanan. Biarlah saya tarik diri dahulu sebelum kasih sayang saya pada awak mengatasi kasih sayang saya pada Allah. Awak fahamkan maksud saya?” Perlahan-lahan dilepaskan kekasihnya dari pelukan. “Cukup agaknya setakat ni. Biarlah saya, awak simpan dalam kenangan awak. Biarlah saya pergi menyahut seruan jihad.”
Dalam keadaan begitu - ketika kekasihnya masih lagi teresak-esak menangis - dia meninggalkan kekasihnya. Dan selepas hari itu, dia gagal dihubungi oleh sesiapa.
Hari ini dia lewat lagi. Semuanya pasal semalam. Lewat pagi baru dia sampai ke rumah. Pulang ke rumah, dia tidak seorang. Kekasihnya memang setia dengannya. Dalam keadaan melayang dan mabuk, mereka melayang di atas peraduan pula. Kucupan, rangkulan, pelukkan dan belaian. Mereka meluahkan kasih sayang masing-masing.
Dia senang dengan cara hidup begini. Baginya, selagi masih bernyawa, selagi itu, nikmatilah dunia. Berahinya harus dipuaskan. Tapi tak semudah itu dia hendak menjualkan cinta. Berahinya, pada orang yang berhak. Yang memiliki cinta dan hatinya.
Hampir setiap malam hidupnya diisi bersama kekasih yang sentiasa setia menemani. Mereka akan berhibur sepuas hati. Menghiburkan hati dan nafsu berahi dengan iringan muzik masa kini di kelab malam, mahupun di bilik tidurnya tempat mereka rajin beraksi. Setiap kali terjaga, kekasihnya sudah pasti tiada. Dan dia cepat-cepat mengemaskan diri untuk pergi kerja. Lewat lagi.
“Sampai bila lagi kita nak hidup begini?” pernah sekali kekasihnya bertanya penuh emosi.
“Biarlah masa tentukan.” dia terus mabuk dengan perangainya. Setiap kali dia sudah mula mabuk berahi, setiap kali itu jugalah kekasihnya tak mampu untuk melawan nafsu dan perasaan mereka. Maka soalannya tempoh hari, pasti akan lemas bersama lemasnya mereka di lautan berahi.
Bibirnya dikucup. Seluruh tubuh lembutnya dirasai oleh sang kekasih. Mereka akan terus hanyut, melayari lautan madu - pelayaran kasih sayang. Setiap kali dia melakukan perbuatan tersebut, pasti akan timbul sesalan. Dan sesalan, hanya tinggal sesalan.
Pernah juga sang kekasih menyatakan hasrat suci mahu memperisterikannya. Namun, sang dewi tidak pernah ambil serius. Tidak pernah mahu memikirkannya sama sekali.
“Hidup kita dah tak macam manusia biasa. Kita tak sedarkan diri, mabuk, tenggelam dengan hiburan dan . . . air tu . . . sial! Huh . . You dengan I dah jadi macam suami isteri walhal, kita tak pernah nikah pun. Jika, ini dikatakan cinta, pada tahap mana cinta tu agaknya?!” dia kembali teringat akan kata-kata kekasihnya.
“Ok.. Ok.. Kita bahagia sekarang, bukan? You ada hidup sendiri. Peguam muda paling hebat di bandar ni. Anak orang besar pulak tu. I? I pun ada hidup I sendiri. So, can’t we just go on with our own life?” dia tenang menjawab.
“Sampai bila, kita nak jadi macam ni. You ingat hidup kita ni muda sentiasa? Zaman muda bolehlah buat macam ni. Nanti dah tua, takkan nak terus hidup dengan air sial tu, tak de kehidupan, berkeluarga, anak-anak.”
Masih jelas – tak dapat dilupakan. Dia cuba untuk pandang jauh seperti kekasihnya. Tapi dia tak mampu. Jiwanya, jiwa muda. Pentingkan keseronokan. Dan permainan ranjang baginya adalah tuhan.
“Ok.. Kalau You nak sangat kehidupan macam yang you cakapkan tu, go ahead. You boleh pilih jalan You. I tetap pilih jalan I!” dia lantas bangun dan mahu meninggalkan kekasihnya. Dan ketika itulah, kekasihnya ditewaskan dengan keadaan. Lantas dia dipujuk, dirayu. Dan mereka seterusnya berkucupan bercumbuan. Seperti biasa mereka akhirnya lemas di peraduan.
bersambung…
Nota: Pernah tersiar di majalah web seni budaya http://jalantelawi.com sekitar tahun 2006



Klik Imej Untuk Senarai Penuh













