Perutusan Hari Natal
Dec 24th, 2008 | By Admin | Category: ucapanKepada seluruh penganut Kristian, saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Hari Natal. Sambutan tahun ini tentulah akan diraikan bersama yang tersayang, diiringi doa dan harapan agar semuanya baik bukan sahaja kepada keluarga, malah juga buat negara kita yang tercinta. Sebagaimana sambutan perayaan-perayaan lainnya, sahabat dan rakan taulan dari pelbagai latar etnik serta agama pasti bersama-sama memeriahkan suasana.
Kita pastinya menyedari negara kita Malaysia yang bebas merdeka 51 tahun lalu merupakan sebuah negara yang majmuk. Semenjak dari tarikh negara ini diisytiharkan merdeka sehingga ke hari ini, kita semuanya, baik di Semenanjung mahupun di Sabah dan Sarawak, telah melalui saat-saat sukar juga senang bersama-sama.
Saya kira perlulah kita kembali merenung bagaimana masyarakat convivencia di Andalusia yang meyaksikan tiga umat; Islam, Kristian dan Yahudi hidup dalam kerukunan dan membuahkan tamadun gemilang. Sebagai contoh di Andalusia terutamanya di Cordoba waktu itu, bahasa Arab dimartabatkan sebagai bahasa rasmi dan bahasa pengantar kepada wacana-wacana ilmu, malah penyair Yahudi yang mashyur, Sulaiman Ibnu Gabirol menulis dalam bahasa Arab tanpa perlu dipaksa oleh pemerintah. Benarlah kata Mahmoud Darwish, penyair terkenal asal Palestin, Al-Andalus adalah penyempurnaan impian sebuah puisi. Ianya bukan sahaja tempat yang meraikan kemajmukan malah menjadi pentas percambahan ilmu dan ketinggian budaya.
Dalam menghampiri penghujung tahun 2008 ini, marilah kita semua merenungi persamaan yang wujud, juga berani berdepan dengan garis pemisah yang tercipta sekian lama. Sewajarnya, saat ini dimanfaatkan dengan menyemai benih keinsafan juga kesadaran bahawa perbedaan di antara kita terlalu kecil jika dibanding dengan persamaan yang dikongsi bersama iaitu kita semua merupakan rakyat Malaysia.
ANWAR IBRAHIM



Klik Imej Untuk Senarai Penuh













